December 23, 2015

Lelaki lembam jaga ayah uzur


Latipah (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan barang makanan kepada Talib (tiga, kanan) dan Abd Ghani (empat, kanan) ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Brisu

ALOR GAJAH - Walaupun dikategorikan lembam namun ia bukan penghalang untuk seorang lelaki OKU di Kampung Brisu di sini, menjaga ayahnya yang tua dan uzur.

Abdul Ghani Talib, 43, berkata, sebelum ini dia juga menjaga Allahyarham ibunya yang terlantar sakit sebelum dia meninggal dunia pada Februari lalu kerana sakit tua.

Menurutnya, selain mengambil tugas menjaga ayahnya, Talib Hassan, 94, dia turut memasak makanan untuk ayahnya.

"Ada kalanya adik-beradik lain pulang ke rumah untuk bantu uruskan ayah. Selagi ayah masih hidup, saya akan jaganya sampai bila-bila walaupun saya serba kekurangan," katanya.

Abdul Ghani yang juga anak bongsu dari lima beradik berkata, sebelum ini dia dan ayahnya hanya bergantung kepada wang bulanan Allahyarham  ibunya untuk menyara hidup mereka.

"Adik-beradik lain pun ada juga membantu ringankan beban kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian dalam Program Ziarah Kasih Dun Taboh Naning di sini.

Hadir sama, Adun Taboh Naning, Datuk Latipah Omar, Sidang Kampung Brisu, Md Dami Bujang dan Setiausaha JKKK Brisu, Siti Ramlah Mulop.

Sementara itu, Latipah berkata, pejabat JKM Alor Gajah telah meluluskan bantuan bulanan kepada warga emas itu bermula bulan ini.

Menurutnya, sebelum ini bantuan bulanan sebanyak RM300 diberikan atas nama arwah isterinya dan ianya telah diberhentikan.

"Namun JKM telah mengemas kini permohonan dan mendapati keluarga ini masih layak untuk menerima bantuan bulanan JKM.

"Untuk pemberian pertama, mereka akan diberikan baucar dan akan mengambil bantuan tunai di Kompleks Japerun Taboh Naning,” katanya.

Pihaknya akan terus mencari keluarga-keluarga yang serba kekurangan dan perlu dibantu dalam Dun berkenaan supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

Sinar Harian 21 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment