December 25, 2015

Lelaki enggan serah diri tembak dirinya

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang dipercayai cuba menyamun bertindak membunuh dirinya dengan melepaskan tembakan di bahagian mulut selepas enggan menyerah diri kepada polis di hadapan sebuah restoran di Jalan Desa Kempas 1, Bukit Kempas di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, lelaki tersebut yang membawa pump gun sebelum itu sempat melepaskan sedas tembakan ke udara sebelum menembak dirinya.

"Tembakan tersebut menyebabkan lelaki yang berumur lingkungan 40-an itu meninggal dunia di tempat kejadian. Setakat ini, identiti lelaki itu sedang dikenal pasti dan dipercayai rakyat tempatan berdasarkan suntikan BCG di lengan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – Bernama

Kosmo 25 Dis 2015


Sendiri cari susah

Johor Bahru: Lelaki yang disyaki berniat menyamun maut apabila dia tembak dirinya sendiri dalam kejadian di depan restoran di Jalan Desa Kempas 1, Bukit Kempas, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata suspek sebelum itu sempat melepaskan sedas tembakan ke udara menggunakan `pumpgun’ selepas dikepung polis.

“Kami terima maklumat pada kira-kira 5 pagi. Dua anggota berkejar ke tempat kejadian dan terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa `pumpgun’.

"Polis meminta lelaki terbabit menyerah diri tetapi enggan berbuat demikian dan sejurus itu lima lagi kereta peronda bantuan tiba dan membuat kepungan.

"Lelaki terbabit kemudian menembak mulutnya dan mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a ) Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

myMetro 25 Disember 2015


Rakan lelaki tembak diri sendiri diburu

JOHOR BAHRU - Polis sedang giat memburu rakan lelaki yang menembak mati dirinya sendiri ketika dikepung anggota polis di depan sebuah restoran di Jalan Desa Kempas 1, Bukit Kempas, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, polis percaya suspek berkenaan tidak bergerak sendirian, sebaliknya bersama beberapa lagi rakan lain.

“Kita percaya suspek tidak bergerak sendirian, sebaliknya ada rakan-rakan lain dalam cubaan merompak kedai runcit berhampiran.

“Hanya dia seorang yang membawa senjata dan dia seorang juga yang tidak melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, semalam.

Wan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati suspek pernah terlibat dengan kes samun di sebuah kaunter teksi Taman Daya, tiga bulan lalu.

Menurutnya, suspek dipercayai rakyat tempatan berdasarkan terdapat kesan suntikan BCG di bahu kirinya.

“Kita sudah mengambil sampel cap jari suspek dan masih menunggu pengesahan identitinya daripada Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Sinar Harian 27 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment