December 1, 2015

Lelaki ditemui rentung

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis. FOTO ihsan Bomba

Kota Kinabalu: Lelaki ditemui rentung di dalam bilik rumahnya di Taman Kemajuan, Likas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.40 pagi tadi itu, mayat Luminis Lamjari, 58, ditemui anggota bomba sebaik sahaja api dipadamkan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian hampir keseluruhan rumah berkenaan musnah dan operasi pemadaman terus dilakukan bagi mengelak api daripada merebak.

"Sebaik sahaja api dikawal, satu mayat dalam keadaan rentung ditemui di dalam rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

myMetro 1 Disember 2015


Rentung atas katil

Anggota bomba mencari cebisan mayat Lumilis yang rentung di atas katil dalam kebakaran di Lorong Bambasang, Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 57 tahun hanya mampu menangis apabila gagal menyelamatkan suaminya yang lumpuh selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Lorong Bambasang, Kampung Likas, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi, mayat mangsa, Lumilis Manyanri, 58, ditemui dalam keadaan rentung di atas katil oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut isteri mangsa, Rozana Balma, 57, ketika kejadian, dia bermalam di rumah jirannya yang terletak 20 meter dari rumahnya sebelum terjaga sebaik terdengar jeritan orang ramai.

“Sebaik terjaga, saya bergegas keluar dan mendapati rumah terbakar. Tanpa berlengah, saya meluru masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan suami.

“Saya sempat menemuinya di atas katil dan cuba menariknya keluar tetapi tidak berdaya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Rozana berkata, pada masa sama, api semakin marak menyebabkannya keluar untuk meminta bantuan.

“Bagaimanapun, api marak sehingga rumah tidak boleh dimasuki menyebabkan saya hanya mampu meraung memanggil nama suami.

“Saya terkilan kerana sudah menemuinya tetapi gagal menyelamatkannya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 pagi dan mengerahkan 22 anggota bersama lima jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba dalam tempoh sembilan minit, bomba mendapati rumah terbakar.

“Bomba lantas menjalankan kerja mengawal dan memadam kebakaran,” katanya.

Mohd Affendy berkata, sebaik api berjaya dipadamkan, pemeriksaan menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, operasi itu dibantu enam anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.

myMetro 2 Disember 2015





0 comments:

Post a Comment