December 6, 2015

Langkah terdesak


Ampang: Dua kakitangan Hospital Ampang di sini, berdepan detik cemas apabila memegang erat tangan wanita baru bersalin yang cuba terjun dari tingkat empat hospital itu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, wanita warga asing itu dikatakan mengalami tekanan perasaan sebelum cuba melompat dari tingkap di wad bersalin.

Bagaimanapun sebaik menyedari wanita itu cuba membunuh diri, beberapa petugas hospital terus berlari ke tingkap sebelum sempat menarik tangan mangsa.

Mangsa berdiri di luar tingkap sebelum diselamatkan anggota bomba yang dipanggil ke lokasi kejadian.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mazlan Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.33 petang sebelum mengerahkan jentera dan enam anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa berdiri di luar tingkap di tingkat empat bangunan hospital berkenaan sambil tangannya dipegang kakitangan hospital.

“Anggota bomba cuba memujuknya kembali ke dalam bangunan, namun mangsa berdegil dan mahu terjun ke bawah hospital.

“Anggota bomba keluar melalui tingkap bersebelahan untuk menangkap mangsa dan menolaknya ke dalam bangunan semula,” katanya, semalam.

Menurutnya, hasil maklumat awal, wanita terbabit warga Indonesia dan ditahan di hospital untuk mendapatkan rawatan.

myMetro 5 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment