December 29, 2015

Kasih hingga hujung nyawa

RUBIAH (kanan) memberi makanan kepada madunya.

Tumpat: Mereka hidup bermadu sejak 16 tahun lalu, namun kasih dan sayang tidak berbelah bahagi menyebabkan seorang wanita sanggup berkorban masa serta tenaga menjaga madunya yang lumpuh serta mengalami gangguan mental.

Rubiah Nordin, 40, nekad menjaga madunya, Sarina Harun, 49, hingga akhir hayat walaupun selepas mereka kehilangan suami, Nasir Mohamad, 56, dua bulan lalu akibat penyakit asma kronik.

Katanya, ketika dia berkahwin dengan arwah suami 16 tahun lalu, dia dimaklumkan penyakit dialami isteri pertama Nasir dan bersedia menggalas tanggungjawab itu.

“Saya bukan berkahwin dengan arwah suami saja, bahkan isteri pertamanya dan anaknya juga. Sejak hari pertama pernikahan kami, saya sedia menggalas semua tanggungjawab itu.

“Kerana saya maklum mengenai penyakit dihidapi Kak Na (Sarina) dan selagi hayat dikandung badan, saya bertanggungjawab untuk menjaganya.

“Saya anggap Kak Na seperti kakak kandung dan memastikan segala keperluan serta kebajikannya terjaga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Kuala.

Rubiah yang mempunyai enam anak berkata, arwah suami mahu dia menjaga madunya itu dan perkara itu diwasiatkan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Kak Na mengalami gangguan mental lebih 20 tahun lalu selepas melahirkan anak ketujuh yang juga anak bongsu, Aziahtul Asma, 23.

“Lebih malang apabila lima tahun lalu dia lumpuh dan hanya mampu mengengsot untuk bergerak selepas dilanggar kereta api ketika duduk dekat landasan di luar kesedarannya.

“Saya tinggal bersebelahan rumahnya. Saya melakukan tugasan itu dibantu anak Kak Na terutama anak keempatnya, Amri, 28, yang tinggal bersama Kak Na,” katanya.

myMetro 29 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment