December 6, 2015

Kampung lumpuh dek air termenung

CHE Omar memeriksa tali yang diikat di titi buluh.

Rantau Panjang: Biarpun cuaca cerah sejak empat hari lalu, beberapa kampung di daerah ini masih terputus hubungan berikutan masalah ‘air termenung’ sejak minggu lalu.

Tinjauan Harian Metro, semalam, mendapati rata-rata penduduk menggunakan bot untuk keluar ke jalan utama yang tidak ditenggelami air untuk membeli barang keperluan dan keluar bekerja.

Malah, ada penduduk mengambil inisiatif sendiri membina titi buluh untuk ke jalan utama yang tidak dinaiki air.

Seorang penduduk, Che Omar Che Ismail, 54, dari Kampung Tersang, di sini, berkata, kawasan kampungnya ditenggelami air setinggi 0.5 meter berikutan paras air Sungai Golok masih tinggi.

Katanya, kebiasaannya paras air akan surut dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada paras air Sungai Golok dan keadaan cuaca.

“Untuk sementara waktu, saya membina titi buluh sepanjang 20 meter untuk memudahkan keluarga berulang-alik ke jalan utama.

“Penduduk kampung tinggal di kawasan pedalaman menggunakan bot sebagai pengangkutan utama mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Che Abdul Aziz Che Kob, 50, dari Kampung Banggol Nyior, di sini, berkata, air memasuki halaman rumahnya sedalam 0.5 meter masih belum surut.

“Walaupun cuaca semakin baik dan tidak hujan, namun saya tetap bersedia kerana musim tengkujuh belum tamat dan hujan lebat boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Keadaan cuaca di negeri ini tidak menentu, tetapi sesekali hujan dan panas. Sekiranya air naik lagi, saya berharap ia tidak seteruk seperti tahun lalu,” katanya.

Sehingga jam 5 petang, semalam, portal Infobanjir merekodkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun sehingga paras berjaga-jaga 7.48 meter berbanding paras amaran 8.26 meter, kelmarin.

Bagaimanapun, Jalan Keselamatan Pengkalan Kubor-Kampung Jambu di Tumpat masih ditutup untuk kenderaan ringan sejak 30 November lalu.

myMetro 5 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment