December 23, 2015

‘Kami terpaksa ikat perut’


Setiap hari Santhi terpaksa menyapu air yang memasuki kediamannya

KUANTAN – “Hidup kami susah sangat... kami bukan saja tinggal di rumah usang, tapi kadang-kadang kami anak beranak terpaksa berlapar sebab tiada duit.”

Demikian luahan ibu kepada 11 anak, K Santhi, 47, di Kampung Baru, di sini apabila terpaksa menjadikan rumah usang didiaminya kini sebagai tempat perlindungan bagi mereka sekeluarga sejak empat tahun lalu.

Biarpun dinding rumah sewanya itu musnah akibat dimakan anai-anai dan berlantaikan simen pecah serta berair, namun dia tiada pilihan lain kerana tidak mampu menyewa di tempat lain.

“Saya tak ada duit nak cari dan bayar sewa rumah. Jadi nak tak nak, saya terpaksa juga tinggal di sini sebab sewa bulannya RM250 sahaja.

“Walaupun, keadaan rumah teruk, dinding reput, berlubang dan lantai sentiasa ditenggelami air, tapi inilah tempat yang saya ada untuk berlindung.

“Saya agak kecewa tuan rumah tak pernah datang tengok keadaan rumah sewa dia,” katanya.

Menurutnya, suaminya, V Sangaran, 47, meninggal dunia akibat serangan jantung awal Februari tahun lalu dan sejak itu, dia hilang sumber pendapatan.

Santhi memberitahu, kehidupannya kini bergantung sepenuhnya kepada anak lelakinya, S Suresh, 22, yang bekerja sebagai pekerja kontrak di pasar borong.

Suresh memberitahu, dia terpaksa mengorbankan masa belajar demi membantu keluarganya.

“Saya ada ramai adik dan ibu tak kerja. Jadi saya terpaksa galas tugas sebagai ketua keluarga dengan bekerja untuk sara adik-adik dan bayar sewa rumah.

“Pendapatan bulanan saya tak seberapa, tapi saya sediakan apa yang saya mampu untuk keluarga kami teruskan hidup,” katanya.

Suresh berkata, meskipun terpaksa menjalani kehidupan seperti itu, dia reda malah sama sekali tidak akan patah semangat mencari sesuap nasi untuk keluarganya.

Harap bantuan

Dalam pada itu usaha Santhi untuk mendapat bantuan daripada pihak berwajib masih menemui jalan buntu walaupun keadaan mereka terlalu mendesak hingga anak-anak terpaksa mengikat perut kerana kehabisan bekalan makanan.

“Saya tak tahu sampai bila kami harus tinggal dalam keadaan begini, ini bukan cerita rekaan, datanglah tengok sendiri keadaan kami.

“Kalau ada pihak yang dapat tolong, saya amat menghargainya,” katanya.

Menurutnya, kini dia berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

“Saya harap JKM dapat tolong saya dan anak saya yang sakit agar kami.

“Bukan itu sahaja, empat anak saya telah diserahkan kepada pihak kebajikan di Alor Akar sebab tak mampu nak jaga,” katanya.

Anak derita sakit kronik

Dalam keadaan serba kekurangan, wanita ini diuji sekali lagi apabila anaknya yang berusia lapan tahun disahkan mengidap penyakit kronik iaitu ketumbuhan pada jantung.

Santhi berkata, ketika dilahirkan, anaknya, S Tameswaran dalam keadaan baik dan sempurna.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, anaknya disahkan menghidap penyakit itu apabila beberapa kali pitam di sekolah.

“Sekarang dia perlu dapatkan rawatan sebulan sekali di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Setiap kali dapatkan rawatan di HKL, dia akan dapat wang ihsan daripada doktor sekitar RM100 hingga RM200 bagi memudahkan urusan rawatan,” katanya.

SinarHarian 21 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment