December 17, 2015

Kali terakhir ke kebun

MAYAT mangsa yang maut di lokasi kejadian bersebelahan lori yang terbalik selepas merempuh mangsa.

Bagan Serai: Rutin harian seorang lelaki yang dalam perjalanan ke kebun untuk menjalankan kerja meracun bertukar tragedi apabila mangsa maut dirempuh lori di Kilometer 97, Jalan Ipoh Butterworth, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 8.23 pagi, mangsa, Ahmad Tarmizi Mat Kassim, 57, yang berasal dari Simpang Empat Semanggol, dekat sini, maut di tempat kejadian akibat parah dialami.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Sport dikatakan dirempuh lori ketika keluar dari simpang jalan di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati sewaktu mangsa keluar dari simpang jalan, di situ, lori yang dalam perjalanan dari arah Butterworth menghala Ipoh dikatakan terkejut dengan tindakan mangsa.

“Pemandu lori berusia 49 tahun itu segera menekan brek kenderaan dan cuba mengelak mangsa, namun akibat jarak dekat menyebabkan mangsa dirempuh lori berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kemalangan itu juga menyebabkan lori berkenaan dikatakan berpusing dan terbalik sehingga menyebabkan pemandunya cedera dan terperangkap pada bahagian pemandu sebelum diselamatkan pasukan penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

Dalam pada itu, saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Ismail berkata, dia yang berada di kedai makan berhampiran terkejut menyaksikan kemalangan itu.

Menurutnya, dia bersama dua lagi rakannya yang sedang minum di kedai berkenaan segera menghampiri mangsa yang terbabit dalam kemalangan bagi memberikan bantuan.

“Dalam masa yang sama kami menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian,” katanya.

myMetro 9 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment