December 23, 2015

Jenazah Nur Izzaty selamat tiba

Marang: Jenazah Nur Izzaty Izyan Roselan, 23, penuntut perubatan tahun akhir di Universiti Cairo, Mesir, yang meninggal Jumaat lalu akibat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu, malam tadi.

Jenazah anak kedua daripada empat beradik tiba dengan penerbangan MAS di LTSM Kuala Terengganu kira-kira jam 9.20 malam.

Jenazah Nur Izzaty Izyan kemudian dibawa ke rumahnya di Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini dan tiba pada 10.10 malam.

Sebaik tiba di rumah, ahli keluarga memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Masjid Kampung Tasek, di sini sebelum dikebumikan di Tahah Perkuburan Islam Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini,

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria turut bersama menantikan ketibaan jenazah bersama ahli keluarga Nur Izzaty Izyan di LTSM.

Dalam pada itu, bapa Nur Izzaty Izyan, Roselan A Rahman, 56, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam yang memastikan kelancaran dan menguruskan urusan menghantar pulang jenazah anaknya ke Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan mengadakan tahlil buat Allahyarham sebagai tanda ingatan dan penghargaan terhadap bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu itu.

myMetro 22 Disember 2015


Sepatutnya pulang Januari tahun depan

Nur Izzati Izyan meninggal dunia Jumaat lalu. FOTO Syahirah Abdullah

Marang: Penuntut tahun akhir jurusan perubatan Universiti Cairo yang disahkan meninggal dunia akibat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) pada Jumaat lalu sepatutnya pulang ke Malaysia pada Januari tahun depan.

Nur Izzati Izyan Roselan, 23, meninggal dunia di Unit Rawatan Kardiologi (CCU) Hospital Kasr El Aini kira-kira 11.50 malam pada Jumaat lalu (waktu Malaysia) selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital berkenaan.

Menurut ibunya, Rosmani Hussain, 46, anak kedua daripada empat beradik itu sepatutnya pulang bercuti di Malaysia sempena cuti semester dan terkilan kerana hajat anaknya tidak kesampaian.

"Dia ada cakap tidak sabar nak pulang bercuti bersama keluarga sedangkan sebelum ini arwah hanya akan pulang ketika Aidilfitri, "katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, arwah dikatakan jatuh di dalam bilik air dan dibawa ke hospital oleh rakan serumahnya.

Rosmani berkata, dia menerima panggilan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan anaknya berada di hospital pada 7.45 malam Jumaat lalu.

Katanya, dia sekali lagi menerima panggilan jam 11.50 malam hari sama memaklumkan anaknya sudah tiada.

Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri akan membantu membawa pulang jenazah mangsa yang berasal dari Kampung Tasek Bukit Payung, Marang.

"Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada Selas kira-kira 8.40 malam ," katanya.

myMetro 22 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment