December 28, 2015

'Jangan ingat boleh lepas begitu saja...'

Kereta yang melawan arus (dalam bulatan) dan Estima yang terbabas kerana mengelak kereta itu. FOTO ihsan pembaca

Shah Alam: Polis memburu lelaki yang memandu melawan arus di Persiaran Setia Alam berdekatan Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam, Khamis lalu.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima terbabas di bahu jalan kerana mengelak kereta itu.

Pegawai Turus Trafik Selangor Deputi Superintendan Azmi Mansor berkata, pemandu terbabit sudah dikenal pasti dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

"Polis sudah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan. Keterangan daripada pemandu MPV juga sudah diambil selepas dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, selepas kejadian.

"Pemandu dan dua penumpang MPV itu tidak cedera," katanya.

Rakaman kereta dipandu melawan arus itu dirakam pengguna jalan raya sebelum tersebar di laman sosial dan mendapat reaksi negatif orang ramai.

myMetro 26 Disember 2015



Lelaki nyanyuk pandu lawan arus punca kemalangan

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Kereta Toyota Altis berwarna kelabu yang melawan arus di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat Setia Alam, Shah Alam, pada Khamis lalu yang rakaman video mengenainya viral di laman sosial sejak kelmarin, rupa-rupanyanya dipandu seorang lelaki nyanyuk.

Perkara itu disahkan pihak polis yang mengambil keterangan warga emas berusia 77 tahun berkenaan ketika dia tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk diambil keterangan hari ini.

Pegawai Turus Cawangan Trafik Selangor, Deputi Superintenden Azmi Mansor berkata, lelaki itu datang ke balai polis dengan ditemani anak-anaknya selepas dihubungi pihak polis semalam.

Menurutnya, ketika diambil keterangan, warga emas itu sukar menjawab pertanyaan yang diajukan pegawai penyiasat terhadapnya.

“Berdasarkan kenyataan anaknya, warga emas itu tidak dibenarkan memandu kenderaan malah ahli keluarganya juga pelik bagaimana dia dapat kunci kereta tersebut.

“Salah seorang anaknya memberitahu, lelaki itu sebenarnya hendak ke Kajang tetapi tersalah jalan dan menghala ke Setia Alam. Malah dia juga lupa jalan balik ke rumahnya di Dengkil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada 24 Disember lalu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik rakaman video berhubung tindakan seorang pemandu yang memandu kereta secara lawan arus berhampiran tol Setia Alam.

Video berdurasi 54 saat itu telah menjadi viral dan ditonton lebih 30,000 pengguna Facebook selain dikongsi 329 pengguna laman sosial.

Berikutan itu, polis yang melakukan siasatan memanggil pemandu kereta tersebut bagi membantu siasatan kerana tindakan tersebut turut menyebabkan sebuah kereta Toyota Estima terbabas di bahu jalan selepas cuba mengelak daripada bertembung dengan kenderaan berkenaan.

Katanya Azmi, ahli keluarga warga emas itu turut membawa laporan perubatan yang menyatakan dia menghidap kencing manis dan darah tinggi yang kronik.

Utusan 28 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment