December 23, 2015

Isteri polis sedih terima komen negatif di FB

ANGGOTA polis cedera parah di kaki selepas dirempuh motosikal.

Butterworth: Isteri kepada anggota polis yang parah akibat dirempuh motosikal di Jalan Permatang Tiga, Kepala Batas, dekat sini petang kelmarin sedih selepas kejadian menimpa suaminya itu menerima komen negatif di laman sosial Facebook (FB).

Dia yang dikenali sebagai Wani, 20-an meluahkan rasa sedih dengan kenyataan orang mengenai kejadian itu selepas berita mengenai kemalangan membabitkan dua motosikal itu dimuat naik di FB.

Wani dipetik berkata, tidak adil jika semua pihak menyalahkan suaminya Lans Koperal Mohd Faizudin Wahid, 25, menjadi punca kemalangan berkenaan.

Katanya, dia memohon orang ramai tidak mudah membuat sebarang andaian mengenai kejadian berkenaan dan mahu mereka mendoakan suaminya pulih dan selamat dalam kejadian itu.

“Suami saya cedera di paru-paru dan masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ),” katanya.

Dalam kejadian petang kelmarin, Faizudin yang juga anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) patah kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain yang memotong di garisan berkembar menyebabkan dia dan penunggang berkenaan parah.

Difahamkan, seorang lagi mangsa yang juga pelajar Ahmad Syazwan Irfan Azhar, 18, dilaporkan masih belum sedarkan diri dan ditempatkan di ICU HSJ.

Ketika kejadian, dua anggota termasuk Mohd Faizudin dalam perjalanan ke IPD SPU dari arah Sungai Lokan dan melalui laluan selekoh berkenaan sebelum bertembung dengan motosikal Kawasaki RR 150 ditunggang Ahmad Syazwan yang masuk ke laluan bertentangan.

myMetro 23 Disember 2015


Polis dirempuh penunggang motosikal

KEADAAN motosikal polis selepas kemalangan. FOTO ihsan pembaca

Kepala Batas: Seorang anggota polis patah kaki manakala seorang pelajar cedera dalam kemalangan motosikal di Jalan Permatang Tiga, Kepala Batas, 3.15 petang tadi.

Dalam kejadian itu, anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), Lans Koperal Mohd Faizudn Wahid, 25, patah kaki kanan selepas dirempuh motosikal ditunggang Ahmad Syazwan Irfan Azhar, 18.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner, Azmi Adam berkata, anggotanya dalam perjalanan dari arah Sungai Lokan menghala ke IPD SPU sebelum bertembung motosikal ditunggang Ahmad Syazwan yang memotong lori di garisan berkembar.

Katanya, Ahmad Syazwan cuba memotong lori sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh anggotanya dari arah depan.

"Ekoran kejadian anggota berkenaan patah kaki manakala Ahmad Syazwan juga mengalami kecederaan.

"Kedua-dua mereka dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ)," katanya.

myMetro 21 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment