December 1, 2015

Ibu terlepas tali gantung

Johor Baharu: Ibu kepada dua anak terlepas hukuman gantung sampai mati selepas ditawarkan pertuduhan pindaan memiliki methamphetamine seberat 2.2 kilogram oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Mohd Sofian Tan Sri Abd Razak menawarkan pertuduhan pindaan terhadap Long Say Lein, 57, dalam prosiding keputusan di akhir pembelaan.

Long yang sebelum ini dituduh mengedar dadah ditawarkan pertuduhan memiliki dadah itu selepas mendapati keterangan dikemukakan pihak pembelaan munasabah.

Malah pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes membabitkan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Long didakwa memiliki 2,259 gram methamphetamine di Terminal Bas Sentral Johor, pada 6.30 petang, 5 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 (A)(2) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang sepuluh sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Norman Fernandez.

myMetro 30 November 2015

0 comments:

Post a Comment