December 4, 2015

Ibu, anak ditemui mati

ANGGOTA polis mengusung mayat lelaki yang ditemui mati tergantung di balkoni. FOTO Amir Irsyad Omar

Prai: Wanita, 75, dan anak lelakinya, 45, ditemui mati di rumah mereka di Jalan Tingkat 2,Taman Mas di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, mayat anak lelaki mangsa ditemui tergantung di tingkat atas rumah manakala ibunya ditemui mati dia atas katil di tingkat bawah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, orang ramai ternampak mayat lelaki berkenaan tergantung di dalam bilik dari luar rumah sebelum menghubungi pihaknya.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka mati pada 1 pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya kini masih menyiasat kejadian berkenaan dan sehingga setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tujuan bedah siasat.

myMetro 2 Disember 2015


Dua beranak ditemukan 
mati di dalam rumah

BUKIT MERTAJAM 2 Dis. – Seorang jiran yang melintasi hadapan sebuah rumah di Taman Mas dekat Perai di sini, terkejut selepas melihat seorang lelaki tergantung pada pintu bilik di tingkat atas rumah itu.

Sejurus selepas itu, dia segera memaklumkan kepada penghuni rumah terbabit yang terus menghubungi polis pada pukul 8.50 pagi ini.

Polis yang membuat pemeriksaan turut menemukan mayat seorang lagi wanita warga emas dipercayai ibu lelaki berusia 45 tahun itu yang terbaring di atas katil di bilik bawah rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, tiada sebarang kesan kecederaan ditemukan pada mayat wanita berusia 75 tahun itu yang dipercayai menghidap penyakit berdasarkan penemuan botol ubat berhampiran katilnya.

“Rumah itu didiami lima anggota keluarga, namun ketika kejadian abang lelaki ini keluar bekerja di luar kawasan.

“Jiran mereka yang ingin ke tempat kerja ternampak mayat lelaki itu tergantung pada alang pintu bilik sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Rusli, lelaki itu dipercayai mati antara pukul 1 pagi hingga 8.30 pagi ini dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, anak saudara lelaki itu memberitahu ada terdengar bunyi benda terjatuh dari bilik bapa saudaranya kira-kira pukul 1.30 pagi ini, namun tidak dihiraukan.

“Dia dan ibunya terkejut apabila diberitahu ada mayat tergantung pada alang pintu bilik dihuni bapa saudaranya,” ujarnya.

Utusan 3 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment