December 25, 2015

Hobi pelik tidak senonoh



Kuala Lumpur: Hobi intai celah paha gadis. Itu antara tindakan biadap seorang pemuda yang dikesan melakukan perbuatan itu di premis farmasi di ibu kota.

Tindakan tidak bermoral lelaki berusia 20-an itu bagaimanapun dirakam pengunjung premis itu sebelum menjadi viral di media sosial.

Penganalisis jenayah dan keselamatan, Kamal Affendi Hashim berkata, berdasarkan rakaman itu, suspek yang memakai kemeja putih dan seluar panjang hitam dilihat berpura-pura duduk mencangkung sambil memilih produk di rak jualan.

Menurutnya, seorang wanita tempatan yang memakai skirt pendek dilihat sedang berdiri di belakangnya sambil lelaki itu dilihat gelisah.

“Kejadian didakwa berlaku jam 6.10 petang Khamis lalu di pusat beli-belah terkenal di ibu kota. Lelaki itu mengintai di bawah skirt gadis itu tanpa disedari mangsa.

“Bagaimanapun, tindakan itu disedari pemilik kedai yang menjerit sebelum lelaki itu kelam-kabut melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, kejadian gangguan seksual terbaru itu disifatkan membimbangkan apabila insiden sama semakin kerap dilaporkan berlaku.

“Sebelum ini seorang jurutera ditahan polis selepas cuba merakam paha seorang wanita yang menaiki eskalator di pusat beli-belah Low Yat, di sini, menggunakan telefon bimbit, Julai lalu.

“Malah, seorang lelaki berusia 20-an turut ditahan polis awal bulan lalu di sebuah pusat beli-belah di Brickfields, di sini, selepas didapati merakam curi paha seorang gadis yang menaiki eskalator,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu disifatkan menggusarkan berikutan ia semakin kerap berlaku hingga menyebabkan wanita tidak berasa selamat.

myMetro 24 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment