December 23, 2015

Hilang terjatuh dari bot


Anggota JPAM Kedah menjalankan operasi mencari Abdullah (gambar kecil) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Kuala Kedah, tengah malam tadi. FOTO Rahmat Othman

Alor Setar: Nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di perairan Kuala Kedah, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa Abdullah Mat Ali, 53, dipercayai tenggelam ke dalam laut manakala rakannya, Amri Haron, 31, berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tali sebuah kapal dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah malam.

Pegawai Operasi Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Madya Maritim Suhaime Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 2 pagi tadi dan operasi dilakukan membabitkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah.

Menurutnya, mangsa dilaporkan terjatuh ketika mencandat sotong kira-kira tiga batu nautika dari Kuala Kedah.

"Setakat ini operasi mencari mangsa masih dijalankan sekitar perairan Kuala Kedah," katanya.

myMetro 22 Disember 2015


Ajal mencandat sotong

Alor Setar: Mayat nelayan Abdullah Mat Ali, 53, yang hilang ketika mencandat sotong ditemui terapung kira-kira 1.5 batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh di perairan Kuala Kedah, pagi ini.

Pegawai Operasi Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Madya Maritim Suhaime Abdul Wahab berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 10.18 pagi selepas lebih 30 jam operasi mencari dilakukan sejak semalam.

Beliau berkata, operasi membabitkan 60 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, bagi tindakan lanjut.

myMetro 23 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment