December 23, 2015

Gadis cekal lawan kanser ovari


Vicirta (dua, kiri) yang ditemani Chu Wing (dua, kanan) ceria ketika dikunjungi Mohd Rosdi (kanan) dan rombongan.

TUMPAT – “Mohon beri kekuatan untuk anak gadis saya lawan kanser ovari.”

Demikian luahan seorang bapa berketurunan Siam, Chu Wing Eh Den, 46, apabila anak sulungnya, Vicirta Tuk Tathong disahkan mengidap kanser ovari tahap tiga.

Walaupun kelihatan sedikit lemah, Vicirta, 20, yang baru selesai menjalani rawatan kemoterapi kali keenam, masih mampu mengukir senyuman ketika dikunjungi Umno Bahagian Tumpat di rumahnya di Kampung Kubang Panjang, di sini.

Chu Wing berkata, hatinya sebak melihat keadaan Vicirta, namun dia kuatkan semangat untuk sama-sama berjuang demi masa depan anak sulungnya itu.

“Kami dapat tahu agak lewat, itu pun sebab dia mengadu sakit perut selepas pulang sekolah ketika dia di tingkatan enam tahun lepas. Bila diperiksa, doktor kata ada ketumbuhan. Pembedahan buang ovari dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya.

Chu Wing berkata demikian ketika menerima kunjungan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz bersama rombongan Umno Tumpat. Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Tumpat, Wan Hanapi Wan Yakob dan Ketua Wanita Umno Bahagian Tumpat, Nik Noriza Nik Salleh.

Dalam kunjungan itu, hamper dan wang tunai turut diberikan bagi meringankan beban Vicirta, yang merupakan guru bahasa Thai di Wat Sukhomtharam, Kubang Panjang.

Menurut Chu Wing, pembedahan ovari dilakukan pada Jun lalu dan sekarang, anaknya perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan rawatan susulan.

Katanya lagi, pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menyembuhkan penyakit anaknya itu agar kembali ceria seperti sedia kala.

“Saya tahu anak saya kuat semangat. Dia mampu lawan kanser ini, kemoterapi pun sudah selesai dilakukan,” katanya.

Chu Wing berkata, selain rawatan di hospital, dia turut berikhtiar menggunakan rawatan alternatif dengan harapan anaknya itu sembuh.

Katanya, walaupun pendapatannya tidak seberapa sebagai tukang rumah, dia berusaha membeli ubat-ubatan lain untuk memulihkan penyakit anaknya itu.

“Kalau dikira, dah beribu ringgit habis untuk anak saya ini. Wang boleh cari, tapi soal nyawa tiada galang gantinya,” katanya yang mempunyai dua anak, manakala isterinya, Veena Ainim, 39, merupakan suri rumah.

Sinar Harian 23 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment