December 17, 2015

Gadis cari bapa jadi wali nikah


Noreidayu memegang salinan kad pengenalan ayah kandungnya dan ia satu-satunya gambar Jalil yang ada dalam simpanannya.

KUALA BERANG - Seorang kakitangan kerajaan yang bakal bergelar raja sehari, mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali bagi majlis pernikahan yang dirancang bakal diadakan Februari depan.

Noreidayu Jalil, 24, yang tinggal di Kampung Telaga, Hulu Terengganu berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya, Jalil Embong, 51, ketika dia berusia 9 tahun dan terus menghilangkan diri setelah berpisah dengan ibunya, Zainab Abd Kadir, 51.

“Saya anak kedua dari tiga beradik dan merupakan anak perempuan tunggal. Setelah berpisah dengan ibu, saya tidak lagi berjumpa dengannya sehinggalah sekarang.

“Ibu saya juga kini hanya terlantar di rumah akibat angin ahmar sejak dua tahun lalu,” katanya

Menurutnya, bapanya berasal daripada Kampung Langgar, Hulu Terengganu.

“Berdasarkan maklumat, saya dapat tahu dia ada pulang ke kampung sekitar tahun lepas dan apabila ditanya saudara-mara di sebelah sana...saya difahamkan ayah telah pun berkahwin dengan orang Sabah.

“Bagaimanapun, nombor telefon digunakannya sudah tidak dapat dihubungi. Usaha menjejaki ayah telah lama dilakukan, namun tidak berhasil...saya berharap sangat ayah dapat jadi wali pada majlis pernikahan saya nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Noreidayu yang bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Abdullah Tahir Abdul Kadir, 25, dia percaya ayahnya masih hidup dan menaruh sepenuh harapan agar bapanya itu dapat pulang serta bertemu dia serta adik-beradiknya yang lain.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat serta mengenali ayahnya itu diharapkan dapat memaklumkan perkara tersebut termasuk menghubunginya di talian 014-2699329 supaya segala kerinduan terlerai sekali gus memudahkan urusan pernikahannya.

Sinar Harian 17 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment