December 25, 2015

Empat maut, 26 cedera dalam kemalangan bas ekspres dan lori

BOMBA mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan pembaca

Jeli: Empat maut manakala 26 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan bas ekspres serta lori di Batu 14, Jalan Jeli-Gerik kira-kira 1.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, kemalangan berlaku apabila bas dari Grik ke Kuala Terengganu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, akibatnya berlaku pergeseran sebelum kemalangan.

"Kemalangan itu menyebabkan empat maut dan 26 mangsa lain cedera.

“Mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

myMetro 25 Disember 2015


Empat penumpang bas maut dikenal pasti

JELI - Identiti empat penumpang yang maut selepas bas ekspres dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Jeli-Gerik, dekat sini awal pagi tadi telah dikenal pasti.

Mereka ialah Hasiah Osman, 57; anak Hasiah, Muhammad Amir Abdul Rahim, 16 dari Pulau Pinang; Nur Afiqah Alimi Mohd. Ali, 19 dan Mohd. Syafik Azrol Azni, 25 dari Terengganu.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Nur Syahidah Mohd. Noor, 24, dari Pahang dilaporkan kritikal dan masih dirawat di Hospital Jeli.

Kejadian kira-kira pukul 1.47 pagi itu dipercayai berlaku apabila bas yang dinaiki 30 penumpang bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. - K! ONLINE

Kosmo 25 Dis 2015


Kali pertama yang amat memilukan

Hasiah (kiri) dan Muhamad Amir (kanan) serta Afiqah (tengah), tiga daripada empat penumpang bas yang maut dalam kemalangan bas ekspres di Batu 14, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Grik, awal pagi tadi. FOTO Syamsi Suhaimi

Jeli: Kali pertama menaiki bas ekspres, tetapi amat memilukan apabila ia berakhir dengan tragedi buat Abdul Rahim Hashim, 68, yang kehilangan isteri dan anak bongsu selepas mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 124 di Batu 14, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Grik, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, isteri Abdul Rahim, Hasiah Osman, 57, dan anak bongsunya, Muhamad Amir, 16, meninggal dunia di tempat kejadian selepas bas dinaiki bergesel dan berlanggar dengan lori muatan papan lapis.

Turut terbunuh, dua lagi penumpang bas, Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, dari Kampung Mengabang, Batu Rakit, Terengganu dan Mohd Syafiq Azrul Azmi, 25, dari Kampung Losong, Terengganu

Seramai 26 penumpang bas turut cedera dalam kemalangan itu.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila bas dipandu lelaki berusia 26 tahun yang dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Kuala Terengganu hilang kawalan lalu bergesel dan berlanggar dengan lori itu.

Menurut Abdul Rahim, hasrat isterinya untuk melihat cucu sulung mereka yang berusia 30 hari buat kali pertama di Kampung Gong Badak juga tidak kesampaian.

Katanya, Isteri bersungguh-sungguh mahu menaiki bas buat pertama kali kerana mahu melihat cucu tersayang.

"Selama ini, kami tidak pernah menaiki bas dan mahu mencuba menaiki kenderaan berkenaan bersama anak bongsu.

"Pada awalnya perjalanan lancar, namun sebaik tiba di lokasi kejadian saya yang sedang tidur terkejut apabila terdengar bunyi rempuhan kuat," katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebaik membuka mata, dia mencari isteri dan anaknya.

Katanya, dia melihat isterinya di atas jalan dan mendapati isterinya meninggal dunia.

"Saya terus mencari anak dan selepas sejam baru menemuinya dalam keadaan tersepit di antara bas dan lori.

"Luluh hati melihat isteri dan anak dalam keadaan begitu, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Katanya, jenazah isteri dan anaknya akan dikebumikan di Kampung Alma, Bukit Mertajam selepas proses bedah siasat di Hospital Jeli.

myMetro 25 Disember 2015



Mangsa kemalangan anak taat kepada ibu

KUALA NERUS - Mangsa kemalangan maut yang melibatkan sebuah bas ekspres dan lori membawa muatan papan lapis di Batu 14 Jalan Jeli-Gerik awal pagi tadi, Nur Afiqah Alimi Mohd. Ali, 19, disifatkan sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya.

Nenek mangsa, Azizah Umar, 70, memberitahu, cucunya yang merupakan seorang pendiam taat kepada ibunya selepas pemergian ayah kira-kira tiga tahun lalu akibat barah hati.

"Setiap pertolongan yang diminta (ibunya) pasti dia lakukan tanpa merungut," katanya di sini hari ini.

Nur Afiqah merupakan seorang pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang dikatakan bercuti bersama keluarganya di Perak sejak Ahad lalu.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya pulang secara bersendirian tanpa ditemani ibunya, Zalida Adnan, 38.

Selain Nur Afiqah, tiga lagi cucu Azizah iaitu Nur Ain Nabilah Alimi, 20; Nuraini Nasuha Alimi, 15, dan Izzu Farhan Mohd Zaini, 15, turut menaiki bas sama dan dilaporkan cedera.

Difahamkan, semua keluarga Nur Afiqah telah ke Hospital Jeli di Kelantan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai insiden itu. - K! ONLINE

Kosmo 25 Dis 2015


Ciuman terakhir cucu

Nur Afiqah (gambar) sempat bersalam dan mencium pipi neneknya. FOTO Syamsi Suhaimi dan ihsan pembaca

Kuala Nerus: "Sebelum bertolak ke Perak Ahad lalu, arwah sempat bersalam dan mencium pipi saya," kata Azizah Umar, 70, dari Kampung Pak Tuyu, di sini.

Azizah adalah nenek kepada Nur Afiqah Alimi, Mohd Ali 19, seorang daripada empat mangsa yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dengan lori di Batu 14, Jalan Jeli-Gerik kira-kira 1.30 pagi tadi.

Azizah berkata, Nur Afiqah yang juga pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, bercuti bersama keluarganya di Perak sejak Ahad lalu, namun arwah pulang bersendirian tanpa ditemani ibunya, Zalida Adnan, 38.

"Ibunya pulang terlebih dulu menaiki kereta bersama adik arwah dari Pulau Pinang yang ingin pulang ke Terengganu.

"Nur Afiqah menaiki bas pada hari berlainan iaitu semalam pada 7.30 malam bersama kakak, adik dan sepupunya," katanya.

Menurutnya, selain Nur Afiqah, tiga lagi cucunya, Nur Ain Nabilah Alimi, 20; Nuraini Nasuha Alimi, 15, dan Mohd Zaini, 15, yang turut menaiki bas berkenaan, cedera.

"Saya langsung tak sangka kejadian ini menimpa cucu saya. Sebelum pergi, saya sempat bertemu arwah dan dia sempat bersalam serta mencium saya. Tidak sangka itu ciuman terakhirnya kepada saya.

"Arwah seorang yang pendiam dan anak yang taat kepada ibunya selepas pemergian ayah sejak tiga tahun lalu akibat barah hati. Malah, setiap pertolongan yang diminta pasti dia akan lakukan tanpa merungut," katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 tadi, bas yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak ke Kuala Terengganu terbabit kemalangan dengan lori muatan papan lapis dari arah bertentangan, mengakibatkan empat maut dan 26 lagi cedera.

myMetro 25 Disember 2015



Jenazah Nur Afiqah selamat dikebumikan

Kuala Nerus: Jenazah Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, seorang daripada empat yang terkorban dalam kemalangan bas ekspres dengan lori di Kilometer 124, Batu 14, Jalan Jeli-Grik jam 1.30 pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Mengabang Telipot, di sini, 9.45 malam tadi.

Jenazah Penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, itu dikebumikan selepas selesai solat jenazah di Surau Kampung Pak Tuyu, di sini, sebaik van yang membawa jenazah dari Hospital Jeli, Kelantan pada 8.05 malam.

Kira-kira 50 penduduk kampung dan ahli keluarga serta saudara-mara menghadiri pengebumian itu.

Dalam kejadian itu, Nur Afiqah bersama kakak, Nur Ain Nabilah Alimi, 29 dan adik, Nur Aini Nasuha Alimi, 15 dan sepupunya, Ahmad Izzul Farhan Mohd Saidi, 15, dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampung selepas bercuti di rumah kakak sulungnya, Nur Izzati Alimi, 25, di Kemunting, Taiping, Perak sejak Ahad lalu.

Nur Ain Nabilah dan Nur Aini Nasuha Alimi cedera di kepala dan badan dan kini masih dirawat di Hospital Jeli manakala Ahmad Izzul Farhan yang mengalami kecederaan di mulut dibenarkan keluar selepas mendapat rawatan di hospital sama.

myMetro 25 Disember 2015


Pesanan terakhir kepada adik

Bukit Mertajam: "Kali terakhir saya terima Whatssap daripada adik kira-kira 10.30 malam sebelum mereka menaiki bas di Terminal Bas Butterworth untuk ke Kuala Terengganu," kata Rusifah Abdul Rahim, 33, anak sulung Hasiah Osman, 57, yang maut dalam kemalangan bas dan treler di Gerik, awal pagi tadi.

Dalan kemalangan 1.30 pagi itu, Rusifah juga kehilangan adik bongsunya, Muhammad Amir, 16, manakala bapanya, Abdul Rahim Hashim, 68, yang turut menaiki bas yang sama terselamat.

Katanya, adiknya itu menghantar pesanan ringkas berkenaan untuk memaklumkan kepadanya bas yang dinaiki bergerak meninggalkan terminal.

"Saya juga ada bertanya mereka duduk di bahagian mana dan adik memberitahu duduk di bahagian tengah bas selain duduk bersebelahan dengan ibu manakala ayah di kerusi tunggal.

"Saya juga berpesan kepada adik supaya menjaga ibu dan ayah sebelum kami mengakhiri perbualan," katanya yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Alma, di sini.

Rusifah berkata, kira-kira 1.30 pagi, dia menerima panggilan daripada bapanya namun tidak sempat untuk menjawab.

"Apabila tersedar pada 2 pagi, saya melihat ada panggilan tidak berjawab daripada ayah dan menghantar mesej kepada adik namun tidak berbalas," katanya

Katanya, kemudian bapanya menghubunginya semula dan memaklumkan kejadian yang menimpa ibu dan adiknya.

"Ketika itu saya tidak mampu berfikir apa-apa dan rasa tidak percaya selain terus berkemas untuk pulang ke kampung," katanya yang menetap di Puchong, Selangor.

Menurutnya, ibu bapa dan adik bongsunya dalam perjalanan ke rumah adik keduanya, Ahmad Idris, 32, di Terengganu.

"Mereka semua mahu ke rumah Ahmad yang baru menimang cahaya mata yang juga cucu pertama dalam keluarga kami," katanya.

Katanya, jenazah ibu dan adiknya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Atas Bukit, Kampung Alma, malam ini selepas tiba dari Jeli.

myMetro 25 Disember 2015


Pemandu bas ekspres positif syabu

Jeli: Pemandu bas ekspres berusia 26 tahun yang menyebabkan empat penumpang bas maut dan 26 cedera dalam kemalangan di Kilometer 124, Batu 14, Jalan Jeli-Gerik jam 1.30 pagi tadi didapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, lelaki itu yang juga pemandu utama ditahan sejurus kemalangan dan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini.

"Sebaik ditahan, pemandu berkenaan menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952," katanya.

Dalam kejadian pada1.30 pagi, bas yang dipandu lelaki itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dan berlanggar dengan lori muatan papan.

Empat penumpang bas yang maut ialah Hasiah Osman, 57, dan anaknya, Mohamad Amir Abdul Rahim, 16, Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dan Mohd Syafiq Azrol Azmi, 25.

myMetro 25 Disember 2015


Penantian berakhir khabar duka

Jenazah Mohd Syafiq diusung untuk dikebumikan. FOTO Aswadi Alias

Kuala Terengganu: "Pagi tadi kakak sepatutnya mengambil Along di hentian bas tetapi Along tak sampai-sampai sehinggalah jam 7 pagi tadi kami dikejutkan dengan panggilan daripada hospital memberitahu dia meninggal dunia.

"Kami semua terkejut dengan berita itu dan terus ke Hospital Jeli," kata Muhammad Zulhilmi Naim Azmi, 16, adik kepada Mohd Syafiq Azrul, 25, seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan lori di Kilometer 124, Batu 14 Jalan Raya Timur Barat Jeli - Gerik jam 1.30 pagi semalam.

Menurut Muhammad Zulhilmi, arwah abang yang dipanggil Along sepatutnya tiba di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pagi tadi dan meminta kakak mengambilnya di hentian bas berkenaan.

Katanya, sehingga siang mereka tidak menerima panggilan telefon daripada abang menyebabkan keluarganya berada dalam keadaan bimbang kejadian buruk menimpa anak sulung daripada lapan beradik itu.

"Dua hari lepas Along ada beritahu melalui WhatsApp yang dia bertukar ke tempat kerja baru.

"Along bekerja sebagai jurutera pengeluaran di Pulau Pinang dan sementara memulakan tugas di kilang baru pada Januari ini, dia mengambil cuti panjang untuk bersama keluarga di kampung.

"Kami adik-beradik tak sabar untuk bertemu Along dan kali terakhir berjumpa dengannya pada Aidiladha lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Mohd Syafiq Azrul di Tanah Perkuburan Islam Tok Khatib Siput, Kampung Kubang Kekura, Kuala Bekah, di sini, 11.30 malam tadi.

Katanya, selepas menaiki bas, ibunya, Rohana Mamat, 69, menghubungi abangnya tetapi tidak berjawab dipercayai sedang tidur.

Menurutnya, abangnya sudah hampir dua tahun bekerja di Pulau Pinang dan kali terakhir pulang ke kampung ketika sambutan Aidiladha lalu.

"Setiap kali balik, Along memang naik bas dan jarang dia memandu kerana jarak perjalanan jauh.

"Kami menerima dengan reda ketentuan Ilahi," kata anak keenam daripada sembilan beradik itu.

myMetro  26 Disember 2015



Ibu, anak disemadi

AHLI keluarga dan orang ramai mengusung jenazah Hasiah dan Amir yang maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Jeli-Gerik, awal pagi Jumaat lalu.

Bukit Mertajam: Jenazah Hasiah Osman, 57, dan anak bongsunya, Muhammad Amir Abdul Rahim, 16, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Wakaf Tok Kasan, awal pagi semalam.

Hasiah dan Amir maut selepas bas dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Gerik, awal pagi kelmarin.

Turut berada dalam bas yang dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Terengganu itu ialah suami Hasiah, Abdul Rahim Hashim.

Abdul Rahim terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan empat penumpang itu.

Orang ramai memenuhi kediaman Abdul Rahim, sebaik jenazah dua beranak itu tiba di Masjid Kampung Alma jam 1.30 pagi.

Kedua-dua mangsa dibawa dari Hospital Jeli ke Bukit Mertajam dengan menaiki van jenazah sambil diiringi Abdul Rahim.

Jenazah disambut 200 ahli keluarga dan penduduk kampung sebelum disembahyangkan dan dikebumikan.

Sementara itu, anak sulung Hasiah, Rusifah Abdul Rahim, 33, berkata, adiknya ada menghantar pesanan ringkas sebelum kejadian memaklumkan bas yang dinaiki mahu bergerak meninggalkan terminal.

“Saya juga ada bertanya mereka duduk di bahagian mana dan adik memberitahu di bahagian tengah bas selain duduk bersebelahan dengan ibu manakala ayah di kerusi tunggal.

“Saya berpesan kepada adik supaya menjaga ibu dan ayah sebelum kami mengakhiri perbualan,” katanya yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Alma, kelmarin.

Rusifah berkata, jam 1.30 pagi, dia menerima panggilan daripada bapanya namun tidak sempat untuk menjawab.

“Apabila tersedar jam 2 pagi, saya melihat ada panggilan tidak berjawab daripada ayah dan menghantar mesej kepada adik namun tidak berbalas,” katanya

Dia berkata, bapanya menghubunginya semula dan memaklumkan kejadian menimpa ibu dan adiknya.

myMetro 27 Disember 2015








0 comments:

Post a Comment