December 1, 2015

Dua treler rosak sekat laluan 2 jam

DUA treler tersadai di tengah jalan berhampiran Kem Program Latihan Khidmat Negara PLKN DeBana, semalam.

Jempol: Dua treler yang sarat dengan muatan barang tersangkut di tengah jalan akibat kerosakan menyebabkan puluhan kenderaan lain terpaksa berpatah balik selepas kedua-dua laluan tidak boleh dilalui berhampiran kawasan berbukit dekat Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) DeBana dekat sini, semalam.

Kejadian jam 7 pagi itu dipercayai berpunca apabila sebuah treler terbabas ke kiri jalan menyebabkan sebuah treler lain yang mengekori cuba mengelak, namun tiba-tiba enjinnya pula rosak sebelum terhenti di tengah laluan.

Menurut sumber, berikutan itu, laluan dari kedua-dua arah terpaksa ditutup hampir dua jam bagi mengalihkan treler berkenaan.

“Selepas itu, baru satu lorong dibuka untuk memudahkan pengguna lain melaluinya, malah sebelum itu, puluhan pemandu kenderaan lain terpaksa membuat pusingan U untuk berpatah balik ke pekan Bahau dan Bandar Seri Jempol,” katanya.

Katanya, akibat kejadian itu, polis terpaksa melencongkan aliran trafik ke Jalan Lui Selatan-Sungai Sampo menuju Serting Hilir sejauh 30 kilometer.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan.

myMetro 1 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment