December 21, 2015

Dua kali malang

KHAIRUL menggunakan papan roda untuk bergerak.

ADNAN terlantar akibat kemalangan sejak dua bulan lalu bersama isteri dan anak.

Selama: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu keperitan hidup dilalui Adnan Sani, 45, yang juga orang kurang upaya (OKU) akibat masalah tulang sejak lahir.

Lebih memeritkan apabila Adnan turut terbabit dalam kemalangan jalan raya dua bulan lalu menyebabkan patah lapan tulang di bahagian tangan, paha dan kaki menyebabkannya kini terlantar dan tidak boleh bergerak dan bekerja di bengkel motosikal.

Adnan bersama isteri, Aslia Hasman, 32, serta empat anak mereka Muhamad Syafiq, 18, Muhammad Hafizudin, 16, Muhamad Helmi Husairi, 14, dan Khairul Iqbal, 12, kini hidup dalam kesempitan.

“Hidup kami ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, namun saya perlu kuat semangat dan tabahkan hati demi anak yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sangkut Ijok, Batu Kurau, semalam.

Menurutnya, disebabkan tidak mampu bergerak, isteri dan anak-anak menjadi tempatnya bergantung untuk melakukan kerja rumah seperti mengemas, memasak, mencuci dan membantu menguruskan diri.

Katanya, walaupun anak bongsu, Khairul Iqmal Adnan 12, juga mengalami cacat anggota badan, tetapi aktif dan amat meminati lukisan.

“Isteri tidak dapat bekerja kerana tiada orang menguruskan anak bongsu untuk ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Haji Wan Jaafar di Kampung Masjid Ijok.

“Dia bersama abangnya seolah-olah memahami kesusahan yang saya lalui menyebabkan tidak pernah merungut walaupun tidak dapat hidup selesa seperti orang lain,” katanya.

Aslia pula berkata, tinggi harapannya untuk melihat suaminya sembuh seperti dulu.

“Sebelum ini, suami bekerja sebagai mekanik motosikal tetapi sejak dia kemalangan tidak dapat bekerja mencari nafkah dan kami sekeluarga hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sedih melihat suami sakit, dia seorang ayah dan suami yang tidak pernah tahu erti penat siang malam bekerja untuk menyara keluarga. Dialah kawan dan suami tempat saya bersembang. Saya reda dengan ujian Allah dan tetap menjaganya hingga akhir hayat,” katanya.

myMetro 19 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment