December 1, 2015

Dua beradik antara tiga korban bas jatuh gaung

RANAU - Tiga bersaudara termasuk dua beradik terbunuh selepas kereta Proton Saga yang dinaiki bertembung dan diseret sebuah bas ekspres sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter di simpang Kampung Kiau dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, kesemua mangsa yang maut dikenali Romex Juhari, 26, Petrus Anag, 39 dan Helena Anag, 49.

Ketiga-tiga mangsa yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Ranau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Nordin Pauzi berkata, kejadian berlaku ketika bas ekspres berkenaan yang membawa 23 penumpang dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu.

"Bas ekspres berkenaan yang dalam keadaan menuruni bukit dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dan mengheret Proton Saga dinaiki tiga bersaudara itu menyebabkan dua kenderaan itu menjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter.

"Ketiga-tiga mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di seluruh badan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambah Nordin, semua 23 penumpang termasuk pemandu bas ekspres terbabit mengalami pelbagai kecederaan dan dihantar ke Hospital Ranau, Kota Belud dan Tuaran untuk rawatan.

Katanya, seramai 112 anggota termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Pencari Taktikal dan Penyelamat Khas (Storm) terlibat dalam operasi tersebut.

"Operasi mengeluarkan mangsa memakan masa selama dua jam.

"Ini meliputi penggunaan kaedah 'High Angel rescue technique' dengan kelengkapan peralatan hydraulik bagi memotong kenderaan dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa tersepit," jelasnya. - K! ONLINE

Kosmo 1 Dis 2015


Tiga maut bas, kereta jatuh gaung


Dua lelaki dan seorang wanita dalam Proton Saga maut manakala lebih 10 lagi cedera. - Foto Ihsan Pembaca

Orang ramai berusaha membantu mangsa. -- Foto Ihsan Pembaca


Kota Belud: Dua lelaki dan seorang wanita maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung bas ekspres menyebabkan kedua-dua kenderaan terhumban ke gaung di Jalan Kiau-Ranau, berhampiran Bundu Tuhan, kira-kira jam 3.40 petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud Asisten Superintendan Jamzami Jubin berkata, mangsa yang maut ialah wanita berusia 49 tahun dan dua lelaki, masing-masing berusia 26 serta 39 tahun.

"Dua dua mangsa kemalangan itu cedera parah dan lebih 10 lagi mengalami kecederaan ringan.

"Setakat ini semua mangsa yang maut ialah penumpang kereta jenis Proton Saga," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Jamzami berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ranau, Tuaran dan Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.47 petang.

"Bas ekspres membawa 25 penumpang termasuk pemandu, dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu apabila ia bertembung dengan Proton Saga dari arah bertentangan.

"Pertembungan ini menyebabkan kedua-dua kenderaan terhumban ke gaung sedalam 60 meter," katanya.

Nordin berkata, semua mangsa maut akibat tersepit dalam kereta yang remuk.

myMetro 1 Disember 2015


Pelukan terlerai

Kota Kinabalu: “Mujur tiada sebarang perkara buruk berlaku kerana saya dan isteri akan bersanding ketika kenduri sambut menantu pada Ahad ini,” kata penumpang bas, Sobri Darub, 25, yang terselamat apabila bas dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Jalan Kiau-Ranau, berhampiran Bundu Tuhan, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Sobri hanya calar pada tubuh, manakala isterinya, Liana Mohd Abidin, 23, yang baru dinikahi pada 26 November lalu, turut mengalami kecederaan ringan.

“Ketika bas terhuyung-hayang dan terhumban ke dalam gaung, saya sempat memeluk erat isteri yang ketakutan sebelum keadaan dalam bas menjadi tidak terkawal.

“Sebaik tersedar, saya mendapati isteri tiada di sisi dan bergegas mencarinya,” katanya ditemui ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran.

Sobri berkata, dalam keadaan kelam-kabut, dia berjaya menemui isteri yang tercampak kira-kira tiga meter dari tempat duduk mereka.

“Saya lantas mendapatkannya dan berusaha keluar dari bas yang terbalik.

“Pada masa sama, saya melihat beberapa penumpang yang terselamat turut membantu mengeluarkan mangsa lain dari dalam bas,” katanya.

Terdahulu, Sobri berkata, kejadian itu menyebabkan sepasang baju persandingan dan mas kahwin berjumlah RM500 yang disimpan di dalam beg, hilang selepas kejadian itu.

“Saya tidak sempat mencari beg kami kerana terlalu panik, manakala keadaan menjadi kelam kabut apabila semua penumpang terselamat cuba keluar menyelamatkan diri.

“Saya berharap individu yang menemui beg ini supaya memulangkan segera kepada kami atau pihak berkuasa,” katanya.

Dalam kejadian ngeri kira-kira jam 3.40 petang itu, dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta maut, manakala kebanyakan penumpang bas turut mengalami kecederaan.

myMetro 3 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment