December 17, 2015

Drebar cuba padam api dengan air mineral

LORI kontena rentung akibat kebakaran.

Kuala Lumpur: “Saya lihat pemandu lori cuba memadamkan kebakaran menggunakan air mineral saja,” kata Ahmad Fuad, 23, saksi kebakaran membabitkan lori kontena di Persiaran Tuanku Ja’afar berhampiran susur keluar Kuala Lumpur Sentral, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, bahagian belakang lori kontena itu terbakar. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Ahmad berkata, ketika kejadian dia menunggang motosikal dan melihat asap berkepul-kepul dari belakang lori itu.

“Saya lihat pemandu lori berusaha padam api dengan menyimbah air,” katanya, semalam.

Dia berkata, risau dengan keselamatan pengguna jalan raya lain, dia segera menghubungi talian kecemasan.

“Nasib baik bomba tiba cepat kerana saya bimbang tangki minyak meletup,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.26 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan Sri Hartamas tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati bahagian belakang lori kontena terbakar disertai kepulan asap tebal.

“Semua anggota bertindak pantas memadamkan kebakaran bagi mengelak kejadian buruk,” katanya.

myMetro 17 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment