December 25, 2015

Dijel 100 tahun kerana rogol budak

KOTA KINABALU – Perbuatan terkutuk seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan yang bukan sahaja merogol, bahkan meliwat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada 2012 berbalas apabila dia dihukum penjara 100 tahun dan 15 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Rohaizat Abd. Ani, 56, yang pernah bertugas sebagai Ketua Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan oleh Hakim Ainul Shahrin Moha­mad.

Dia didapati bersalah atas empat pertuduhan rogol dan satu kes liwat yang dilakukan antara Februari dan Mei 2012.

Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua, Rohaizat yang berasal dari Pulau Pinang dituduh merogol serta meliwat mangsa antara pukul 4.30 petang hingga 5.30 petang pada 1 Februari di bilik Hotel Tang Dynasty di sini.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh merogol mangsa antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang pada 2 Februari 2012 di sebuah bilik di hotel sama.

Selain itu, bagi pertuduhan keempat dan kelima, Rohaizat dituduh merogol gadis tersebut di sebuah bilik di hotel yang sama antara pukul 8 malam dan 3 pagi pada 1 Mei dan 6 Mei 2012.

Hakim kemudian menjatuhi hukuman penjara 20 tahun dan tiga kali sebatan bagi setiap pertuduhan.

Kosmo 24 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment