December 17, 2015

Dihanyut arus longkang

Nilai: “Saya mendengar kakaknya menjerit meminta tolong sambil menunjukkan adik lelakinya di dalam longkang,” kata penduduk flat yang mahu dikenali sebagai Aminah, 45, ketika menceritakan seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dalam longkang hadapan flat Desa Cempaka, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, kanak-kanak terbabit G Sugumaran, 3, lemas dihanyutkan arus akibat hujan lebat sebelum mayatnya ditemui tersangkut pada jaring sampah di Sungai Salak Lama, dua kilometer dari lokasi terjatuh.

Menurut Aminah, sebelum kejadian, penduduk melihat dua beradik memasuki sebuah kedai runcit bawah rumah flat untuk membeli barang serta bermain di hadapan premis itu.

“Beberapa minit kemudian, mereka berjalan ke longkang besar sebelum seorang daripadanya terjatuh. Kakaknya berusia 11 tahun menjerit dan cuba menyelamatkan adik lelakinya tetapi hilang dihanyutkan arus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Katanya, kebiasaannya longkang berkenaan tidak dipenuhi air namun disebabkan hujan lebat malam kelmarin mengakibatkan air melimpah dan arus deras mengalir ke sungai berhampiran.

Aminah berkata, beberapa penduduk kebetulan melihat kejadian itu segera menghubungi bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Ahmad Ridwan Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.46 tengah hari sebelum menggerakkan 12 anggota ke lokasi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, operasi mengambil masa hampir dua jam sebelum menemui mayat kanak-kanak terbabit ditemui tersangkut pada jaring sampah di sungai berkenaan, jam 2.20 petang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro 15 Dis 2015


Mayat budak jatuh longkang dah jumpa

Lubang longkang tempat budak lelaki berusia tiga tahun terjatuh ke dalamnya dan gambar kecil, anggota bomba diturunkan ke dalam lubang. - Foto Ihsan Bomba

Nilai: Mayat kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang jatuh ke dalam longkang besar berhampiran flet di Desa Chempaka, Nilai, ditemui dua kilometer dari lokasi kejadian jam 2.20 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Ahmad Ridwan Yahya berkata, mayat G Sugumaran ditemui tersangkut pada jaring perangkap sampah di Sungai Labu di sini, oleh pasukan bomba yang membuat operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada jam 12.46 tengah hari dan dua jentera dengan 12 anggota ke lokasi kejadian bagi usaha mencari dan menyelamat.

Katanya, seramai 12 anggota terbabit dalam operasi itu yang dibahagikan kepada tiga kumpulan sebelum mayat mangsa ditemui selepas dua jam pencarian dan mayat kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada polis.

myMetro 14 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment