December 17, 2015

Dibelasah sampai mati

AHLI keluarga menuntut jenazah Koperal Noor Hisham Abd Halim di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: “Jika benar dia melakukan kesalahan sekalipun, kenapa mereka membelasahnya hingga nyawa abang saya melayang.”

Demikian luahan Noor Hazarrudin Abd Halim, 29, mengenai kejadian yang menimpa abangnya, Koperal Noor Hisham, 32, yang maut akibat dibelasah beberapa individu dalam kejadian di sebuah premis membela burung walet di Sitiawan, Manjung, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sitiawan, disahkan meninggal dunia jam 6 petang ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seri Manjung.

Mangsa yang berasal dari Langkawi, Kedah, dikatakan ditemui orang awam dalam keadaan lemah dan tertiarap di tingkat empat premis berkenaan sebelum diberi bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), namun gagal diselamatkan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, jam 11 malam untuk dibedah siasat dan di fahamkan, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan tisu lembut pada beberapa bahagian badan akibat hentakan objek tumpul.

Noor Hazarrudin berkata, dia mendapat maklumat kejadian itu pada jam 7 malam kelmarin.

“Saya bertugas di Kuala Lumpur ketika itu dan menerima panggilan telefon daripada bapa memberitahu mengenai kematian abang.

“Saya mengambil ibu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini awal pagi tadi ,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, dia tidak mengetahui punca sebenar kejadian, namun berdasarkan maklumat yang diterima, arwah abangnya itu dipercayai dipukul kumpulan lelaki hingga meninggal dunia.

“Saya difahamkan abang dipukul, namun punca sebenar masih tidak diketahui dan saya akan berhubung dengan polis untuk mengetahui lebih lanjut perkara ini.

“Jika benar abang saya dibelasah hingga mati, saya harap mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Noor Hazarrudin berkata, dia rapat dengan abangnya itu dan kali terakhir mereka bertemu dua minggu lalu di Manjung.

“Kami empat beradik iaitu dua lelaki dan dua perempuan, arwah anak kedua dan yang sulung kakak, manakala saya ketiga dan ada adik perempuan bongsu.

“Dia satu-satunya abang saya dan kami memang rapat. Saya sebak mengenangkan nasib isteri arwah abang yang hanya suri rumah dan tiga anak mereka yang masih kecil iaitu anak sulung perempuan berusia enam tahun dan anak kedua (lelaki) berusia lima tahun dan paling bongsu (perempuan) hanya baru berusia empat bulan,” katanya.

Menurutnya, jenazah arwah abangnya yang dituntut jam 1.30 tengahari semalam dibawa pulang ke Langkawi untuk dikebumikan di Kampung Nyiur Cabang, Padang Mat Sirat.

myMetro 17 Dis 2015


Koperal dibelasah sampai mati

Jenazah Noor Hisham dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Nyior Chabang, Langkawi untuk dikebumikan semalam.

IPOH – Gara-gara dituduh mencuri sarang burung walit, seorang anggota polis berpangkat koperal dibelasah sampai mati oleh empat lelaki dalam kejadian di Sitiawan kelmarin.

Mangsa Noor Hisham Abd. Halim, 35, ditemui dalam keadaan tertiarap pada pukul 4 petang de­ngan beberapa bahagian badannya mempunyai kesan kecederaan.

Noor Hisham yang berasal dari Kampung Nyior Chabang, Langkawi, Kedah dihantar ke Hospital Seri Manjung tetapi dia meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, berdasarkan bedah siasat pakar forensik menemui banyak kesan kecederaan pada badan mangsa termasuk patah kedua-dua belah kaki dan tangan.

Menurut beliau, mangsa dipercayai dipukul lebih daripada seorang individu dan masing-masing dipercayai menggunakan senjata berlainan.

“Berikutan kejadian itu, polis telah menangkap empat lelaki berusia 35 hingga 59 tahun yang dipercayai terlibat dengan kejadian membelasah Noor Hi­sham,” kata beliau selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Meraikan Pesara di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis (PLPGU) di sini semalam.

Kosmo 17 Dis 2015


Polis mati dipukul: Empat ditahan

Ipoh: Anggota polis yang maut dalam kejadian pukul di Manjung petang semalam, sudah digantung tugas dan dikehendaki polis bagi membantu siasatan membabitkan beberapa kes jenayah.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, anggota berkenaan digantung kerja sejak 18 September lalu kerana terbabit dengan tiga kes iaitu dadah, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, pihaknya sudah mendapat perintah tahanan daripada Timbalan Pendakwaraya untuk mendakwa anggota berkenaan membabitkan kes pecah rumah.

"Dalam usaha kita mengesan anggota itu, berlaku kejadian ini (dipukul) dan anggota berkenaan didapati meninggal dunia," katanya selepas Majlis Meraikan Pesara PDRM Kontinjen Perak dan Majlis Penyematan Pangkat Inspektor ke Asisten Superintendan Di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM Ipoh di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, mangsa berusia 32 tahun ditemui tertiarap dan cedera teruk di beberapa anggota badan dalam sebuah premis membela burung walid di Manjung.

Mangsa dikatakan dipukul kerana disyaki mencuri burung walid berkenaan dan berikutan kejadian itu, empat suspek berusia antara 35 hingga 59 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

myMetro 16 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment