December 31, 2015

Derita selepas ditinggalkan suami

Anak-anak Salina menerima kelengkapan sekolah baharu, termasuk pakaian dan beg.

PASIR GUDANG - Tatkala keluarga lain sedang lena dibuai mimpi ketika hujan di awal pagi semalam, wanita yang sedang mengandung lapan bulan itu bersama lima anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun dalam kesejukan selepas rumah pusaka yang didiami di Kampung Plentong Baru, di sini, bocor.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Salina, 33, berkata, dia tidak mampu memejamkan mata sehingga hujan lebat reda kerana turut bimbang rumah yang didiaminya dinaiki air.

Menurutnya, anak kecilnya yang keletihan bermain di siang hari sesekali terjaga menjerit rumah bocor kerana air hujan menitis di atas badan mereka.

“Saya hanya ada rumah pusaka ini untuk berteduh walaupun bumbungnya bocor, sebab itu saya hanya mampu menarik tilam anak-anak yang sedang nyenyak tidur ke tempat yang tidak menitis air hujan setiap kali hujan lebat.

“Saya rayu pindahkan saya ke rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana lepas bersalin nanti saya nak kerja dan anak boleh tinggal di rumah yang lebih selesa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Salina berkata, fikirannya buntu memikirkan persiapan kelengkapan sekolah empat anaknya, meskipun dua anak perempuan ada menerima bantuan pakaian sekolah daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan NGO.

Menurutnya, dia bersyukur kerana wang bantuan yang disalurkan orang ramai ke akaun banknya dapat membantunya membeli buku sekolah anak-anaknya kelmarin.

“Dua lagi anak lelaki yang belum ada kelengkapan sekolah merengek minta dibelikan kasut dan beg sekolah, tapi saya hanya mampu memujuk mereka dengan menjahit zip yang koyak untuk digunakan semula.

“Saya dah tengok harga beg sekolah biasa sudah mencecah lebih RM30 sebuah memang di luar kemampuan saya, sedangkan kelengkapan bersalin pun satu apa belum dibeli.

“Saya tak boleh banyak berfikir dalam keadaan sarat mengandung kerana sebelum ini sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana terlalu tertekan,” katanya.

Kisah Salina pernah disiarkan Sinar Harian pertengahan Oktober lalu kerana hidup menderita selepas ditinggalkan suami.

Salina yang hidup dalam kesempitan terpaksa mengikat perut dan kadang-kala memberi nasi kepada anak-anaknya berkuahkan minyak masak kerana gagal mendapat pekerjaan disebabkan sedang hamil anak keenam.

Bagi yang ingin membantu Salina boleh menghulurkan bantuan di akaun RHB Azlina Ahmad 10119200223799.

Sinar Harian 30 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment