December 17, 2015

Demam rindu ibu...

GAMBAR Sharina yang menjadi viral di media sosial memangku Mohd Harraz kini dalam keadaan koma dan dirawat di ICU HRPZ II sejak seminggu lalu.

Kota Bharu: “Saya sanggup menukar tempat dengan isteri yang masih tidak sedarkan diri kerana kasihankan anak yang sudah seminggu tidak dapat menyusu badan,” kata Hanafie Kamarudian, 25, suami kepada Sharina Shafie, 24, yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai menghidap jangkitan kuman di bahagian otak sejak seminggu lalu.

Hanafie yang bekerja sebagai mekanik di Rantau Panjang berkata, anak tunggalnya, Mohd Harraz Danial berusia 8 bulan terpaksa diberikan susu botol kerana tiada pilihan lain selepas isterinya masih tidak sedarkan diri.

Katanya, anaknya mengalami demam sejak dua hari lalu kerana terlalu rindukan ibunya selain berat badannya susut hampir satu kilogram kerana kekurangan susu.

“Kali terakhir, isteri sempat menyusukan Mohd Harraz pada Rabu lalu (9 Disember 2015) ketika dalam keadaan separuh sedar di unit kecemasan Hospital Pasir Mas.

“Saya hanya mampu menahan sebak melihat anak sering menangis terutama pada waktu malam kerana mahukan susu ibunya, namun saya hanya memberinya susu botol.

“Ada juga, orang menawarkan menjadi ibu susuan kepada anak saya, namun saya masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya kini dijaga secara bergilir-gilir oleh ibu dan saudaranya sejak isterinya dimasukkan ke hospital.

“Isteri dan anak memang rapat dan saya boleh nampak perubahan anak yang tidak ceria seperti dulu,” katanya.

Kisah mengenai Sharina menjadi viral di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian ramai sejak kelmarin, apabila beliau dimasukkan ke HRPZ II seminggu lalu akibat jangkitan kuman di bahagian otak.

Lebih menyedihkan bayinya berusia lapan bulan tidak dapat menyusu kerana Sharina masih tidak sedarkan diri.

Hanafie berkata, sebelum ini isterinya tidak menunjukkan sebarang tanda menghidap penyakit serius dan hanya disahkan menghidap penyakit darah tinggi ketika mengandungkan anak sulung mereka sejak awal tahun ini.

“Selepas melahirkan Mohd Harraz, dia pernah ditahan di hospital beberapa hari kerana menghidap penyakit darah tinggi sebelum dibenarkan keluar. Bagaimanapun sejak bulan lalu, dia mula mengadu sakit kepala dan mengalami sesak nafas sehingga tidak dapat tidur,” katanya.

Menurutnya, dia pernah meminta isterinya membuat pemeriksaan di hospital namun Sharina enggan berbuat demikian dan hanya makan panadol untuk melegakan kesakitan dialaminya.

“Bagaimanapun pada minggu lalu, penyakitnya semakin teruk, apabila dia mula menjadi pelupa.

“Melihat keadaannya semakin teruk, saya terus membawanya ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, sehingga kini doktor masih belum dapat mengesahkan penyakit sebenar dihidapi oleh isterinya selepas tiga imbasan dijalankan.

Hanafie mengakui sekiranya pembedahan perlu dilakukan, dia masih belum membuat sebarang persediaan dari segi kewangan kerana kesempitan hidup.

“Pendapatan bulanan saya hanya RM700 sebulan dan itu pun hanya cukup makan saja untuk kami tiga beranak.

“Saya berharap sekiranya ada pihak yang prihatin untuk tampil membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga Hanafie, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 03081020334038 milik Hanafie.

myMetro 15 Dis 2015


Sharina sudah tiada

HANAFI Kamarudian, 25, menunjukkan gambar isterinya, Sharina Shafie, 24, (kiri) yang diviral dalam FB ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sejak seminggu lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Kota Bharu: Sharina Shafie, 24, yang koma di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu sejak seminggu lalu akibat penyakit jangkitan kuman di otak sehingga menjadi viral di Internet menghembuskan nafas terakhir jam 6.30 pagi tadi.

Allahyarham Sharina menghembuskan nafas terakhir disisi suaminya Hanafie Kamarudian, 25.

Hanafie ketika dihubungi berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Tiga Rantau Panjang selepas Zohor.

Arwah meninggalkan suami dan seorang anak lelaki Mohd Harraz Danial berusia lapan bulan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Sharina terlantar tidak sedarkan diri akibat jangkitan kuman dalam otak.

Lebih menyedihkan anak lelaki yang masih menyusu badan terpaksa diberi susu botol sehingga menjadi viral di Internet.

myMetro 17 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment