December 23, 2015

Cemas bot hanyut sejauh 36km

BALIK PULAU – Dua nelayan warga emas berdepan detik cemas apabila bot mereka yang mengalami kerosakan enjin dihanyutkan lebih 36 kilometer (km) dari Pulau Kendi, Teluk Kumbar di sini ke perairan Tanjung Piandang di Perak semalam.

Mangsa, Ismail Darus, 62, dan rakannya, Sabri Saad, 50, ditemui dalam keadaan selamat oleh sekumpulan nelayan pukat tunda di tengah-tengah perairan berkenaan kira-kira pukul 10.50 pagi.

Kedua-dua mereka yang berasal dari Sungai Burung, Balik Pulau itu kemudiannya diselamatkan pasukan Maritim Malaysia (APMM) bersama sekumpulan nelayan dari Jeti Pulau Betong.

Menurut Ismail, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku ketika dia keluar memancing ikan bersama rakannya itu.

“Kami keluar pada pukul 9 pagi semalam (kelmarin) dari Jeti Su­ngai Burung dan sebaik tiba di Pulau Kendi selepas sejam perjalanan, enjin bot tiba-tiba gagal berfungsi dan terhenti.

“Sabri kemudian meng­hubungi saudara dan rakannya untuk membawa bekalan bateri tetapi mereka gagal menemui kami di­sebabkan bot telah dihanyut­kan ombak setinggi satu meter sehingga ke te­ngah laut,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Jeti Sungai Burung di sini.

Kosmo 23 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment