December 17, 2015

Cekal jaga anak OKU sendirian

Azila (tengah) di samping Zainun ketika kunjungan Pengerusi JKKK Kampung Paya, Mohd Zaki Tawan ke kediaman mereka.

DUNGUN - Pengalaman bergelar ibu tunggal sewaktu usia kandungan baharu mencecah dua bulan bukan satu perkara mudah bagi seorang warga emas, Zainun Muda, 62, yang ketika itu berusia 33 tahun.

Lebih getir untuk ibu kepada lima cahayamata itu apabila anak yang dilahirkan diserang demam panas ketika berusia 7 bulan dan sejak itu anak bongsunya itu, Azila Mustafa, 29, dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Derita ditambah apabila salah seorang kakak kepada Azila yang juga OKU meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Kata Zainun, agak sukar baginya untuk meneruskan kehidupan kerana perlu memberi lebih tumpuan kepada dua anak istimewa dan dalam waktu sama perlu keluar untuk mencari rezeki.

“Azila tak boleh ditinggalkan bersendirian sebab dia tak boleh berjalan dan bercakap, makan juga kena disuap.

“Ketika berpisah dengan suami, usia kandungan saya baharu masuk dua bulan dan sepanjang 29 tahun ini, Azila tak pernah jumpa bapanya,” katanya

Menurutnya, ketika anak-anaknya masih kecil dia terpaksa bangun awal pagi untuk menyiapkan makan minum dan memandikan mereka.

“Lepas semua selesai barulah saya keluar bekerja. Kedua-dua mereka ditinggalkan dengan anak yang lebih tua... hati risau tapi saya perlu bekerja untuk sara kehidupan. Macam-macam kerja yang saya buat termasuk tukang cuci, pembantu kedai makan, kerja di kantin sekolah dan pelbagai lagi.

“Saya bersendirian besarkan anak-anak tapi tak pernah anggap mereka beban, sebaliknya amanah dan tanggungjawab Allah bagi. Itu rezeki tuhan untuk saya dan saya akan terus jaga Azila sehingga hayat dikandung badan,” katanya ketika kunjungan Ziarah Kasih oleh Penyelaras Dun Rantau Abang ke rumah mereka di Kampung Paya, di sini, baru-baru ini.

Katanya, faktor usia dan kesihatan membuatkannya terpaksa berhenti kerja dan sekarang tumpuan diberikan sepenuhnya kepada Azila.

“Sejak empat tahun lalu, Azila diserang penyakit kencing manis dan perhatian terhadapnya perlu dilebihkan, bahkan makan tak boleh sesuka hati. Pendapatan harian sekarang bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM200 untuk Azila, RM300 untuk saya sebagai penjaga.

“Kos sara hidup sekarang memang tinggi dan kami perlu berjimat kerana RM200 hanya dihabiskan untuk menampung keperluan lampin pakai buang untuk Azila. Sekarang juga dia perlu dibawa ke hospital sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk dapatkan rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, walaupun diuji, pemimpin setempat termasuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sentiasa memberi perhatian.

Sinar Harian 14 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment