December 17, 2015

Calon SPM maut kemalangan


Kereta yang terbabit dalam kemalangan itu remuk teruk. Gambar kecil: Mohamad Nazri

KERIAN - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bahru berhampiran Kampung Batu 7 di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa, Mohamad Nazri Jaafar, 17, yang berasal dari Kampung Parit Haji Abdul Rahman, Batu 6 di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pekan Kuala Kurau.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Almera dari arah Simpang Lima, Parit Buntar ke Kuala Kurau difahamkan sedang memotong sebuah kenderaan di hadapan tanpa menyedari kehadiran motosikal mangsa.

“Sebaik memasuki laluan bertentangan, pemandu kereta terbabit baru menyedari motosikal mangsa, namun tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum bertembung.

"Pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas bonet hadapan kereta,” katanya kepada media di sini, semalam.

Omar Bakhtiar berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa yang merupakan calon SPM di sebuah sekolah di Parit Buntar kemudiannya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Sinar Harian 7 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment