December 4, 2015

Bumbung ranap dipukul ribut

STRUKTUR bumbung rumah penduduk yang runtuh selepas angin kencang, kelmarin.

Kuala Lumpur: “Biasanya ibu saya keluar mengalihkan pakaian disidai di luar rumah. Mujur ketika bumbung rumah runtuh dia di dalam bilik,” kata Mohd Fuad Samad, 44.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, keseluruhan bahagian bumbung hadapan rumah mangsa di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, runtuh dipercayai akibat angin kencang dan hujan lebat.

“Ketika kejadian saya dalam bilik air sebelum dikejutkan dentuman kuat di luar rumah.

“Saya segera meninjau keadaan dan mendapati bumbung rumah runtuh menghempap motosikal,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana ketika kejadian ibunya yang berusia 68 tahun baru sahaja menunaikan solat Asar di dalam bilik.

“Kebetulan jiran sebelah rumah mahu mengadakan kenduri tahlil. Tetamu yang hadir terus mengadakan derma kilat bagi membantu meringankan beban kami sekeluarga.

“Setakat ini kami menerima sumbangan daripada jiran dan pemimpin kawasan ini berjumlah RM1,000.

“Wang ini akan digunakan bagi kerja pembersihan runtuhan,” katanya yang bekerja sambilan sebagai pemandu dan anggota RELA.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai turut berpunca struktur rumah yang usang.

myMetro 2 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment