December 21, 2015

Budak maut MPV rempuh treler

FOTO ihsan bomba

Gerik: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun maut manakala bapanya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh sebuah treler di Kilometer (KM) 3, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli dekat sini, 4.40 pagi tadi.

Mangsa Rabi'atul Adawiyah Emri Fazliq yang juga penumpang MPV terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala bapanya, Emri Fazliq Mohd, 40, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manap Baharom berkata, siasatan awal polis mendapati treler yang dirempuh MPV berkenaan dipercayai mengalami kerosakan dan kenderaan terbabit berada di laluan sebelah kiri jalan menghala ke Jeli.

"Kenderaan yang dipandu bapa mangsa dari arah Gerik menghala Jeli tidak menyedari treler berkenaan rosak kerana keadaan jalan raya yang gelap.

"Walaupun cuba mengelak ke kanan jalan, namun berikutan jarak kenderaan yang terlalu dekat menyebabkannya terlanggar bahagian belakang sebelah kanan treler itu," katanya.

Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami kecederaan manakala pemandu MPV mendapatkan rawatan di Hospital Gerik dan mangsa maut dihantar ke hospital sama.

myMetro 20 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment