December 21, 2015

Budak didera, pukul sampai mati

Budak lelaki 4 tahun ditemui mati dipercayai didera dan dipukul , malam tadi. FOTO Faiz Anuar dan Muhammad Sulaiman

Klang: Mayat budak lelaki berusia empat tahun ditemui dalam keadaan dibungkus tuala dan hampir seluruh tubuh penuh dengan kesan luka serta lebam dalam tandas rumah di Lorong Halimah Ja'amat, Kampung Sungai Udang, di sini, malam tadi.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa dipercayai mati akibat didera dan dipukul teman lelaki ibunya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa kira-kira 7.10 malam tadi sebelum sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan di rumah itu menemui mayat budak lelaki itu di dalam tandas rumah yang tidak digunakan lagi.

"Hasil siasatan lanjut terdapat kesan luka di bahagian kepala sebelah kiri mangsa, bengkak di kepala, calar dan lebam pada badan, hidung dan mulut berdarah serta kesan dera yang sudah lama.

"Kita turut menemui tuala putih yang ada kesan darah, seluar kanak-kanak, rotan, paip PVC serta batang mop dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya ditemui di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Menurutnya, lelaki berusia 39 tahun dipercayai suspek dan adik iparnya berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah anak teman wanitanya yang baru bersalin dan kini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Menurutnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.

"Mangsa dipercayai tinggal bersama suspek sejak tiga minggu lalu.

"Mayat mangsa dihantar ke HTAR untuk pengecaman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

myMetro 21 Disember 2015


Tergamak nak tanam mangsa

Tandas dipercayai tempat mayat budak lelaki empat tahun yang ditemui semalam. FOTO Mior Azlan

Klang: Pada mulanya beri alasan mahu tanam uri, tetapi selepas didesak beri pula alasan mahu tanam budak sebab terlanggar dalam satu kemalangan di Pandamaran.

Itu alasan lelaki berusia 39 tahun yang kini direman tujuh hari bermula hari ini selepas polis menemui mayat budak lelaki berusia empat tahun di dalam tandas rumahnya di Lorong Halimah Ja'amat, Kampung Sungai Udang, di sini, malam semalam.

Lelaki itu ditahan bersama adik iparnya, wanita berusia 29 tahun yang turut direman tujuh hari bermula hari ini.

Jiran lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Haris, 30, berkata, pada hari kejadian lelaki terbabit dalam keadaan cemas dan mahu meminjam cangkul.

"Dia mendakwa mahu menanam uri bayi di belakang rumahnya membuatkan saya curiga dengan dakwaannya itu sebelum mendesak untuk menceritakan perkara sebenar.

"Akhirnya, dia mengaku mahu menanam seorang budak berikutan dia mendakwa terlanggar budak itu sehingga mati dalam kemalangan di Pandamaran," katanya ketika ditemui Harian Metro, petang tadi.

Menurutnya, pengakuan berkenaan menimbulkan curiga dalam kalangan penduduk di situ, dan terus menghubungi polis untuk melaporkan kejadian berkenaan.

Seorang lagi jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 35, berkata, dia kerap mendengar budak lelaki menangis di rumah berkenaan tetapi tidak menganggap ada perkara buruk berlaku.

“Budak itu jarang keluar rumah dan hanya bermain di sekitar kawasan rumah saja.

“Saya tidak mengenali rapat keluarga budak itu kerana penghuni rumah berkenaan kurang bergaul dengan jiran berdekatan. Saya pun tidak tahu kejadian yang berlaku sehingga kedatangan sepasukan polis ke rumah berkenaan malam tadi (semalam)," katanya.

Tinjauan Harian Metro di rumah berkenaan mendapati ia kosong dan berkunci.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abd Razak berkata, suspek lelaki yang ditahan tidak mempunyai kerja tetap.

"Atas permintaan ibu mangsa, jenazah budak lelaki itu dikebumikan di Mentakab, Pahang, malam ini," katanya.

Menurut Azman, orang ramai diminta tidak mempercayai maklumat yang tersebar berhubung kejadian itu terutama kononnya budak itu dihantar ke rumah pengasuh.

"Jangan percaya khabar angin terutama di laman sosial. Serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan," katanya.

myMetro 21 Disember 2015



Tak sanggup tengok jenazah anak saudara

Klang: “Tergamak dia (suspek) mendera sebelum membunuh anak saudara saya tanpa perikemanusiaan. Apa dosa Aidil (mangsa) terhadap lelaki itu. Anak saudara saya seorang budak yang sangat baik dan senang dijaga, malah mendengar kata,” kata bapa saudara kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang mati dipercayai didera dan dipukul, petang kelmarin.

Beliau yang enggan dikenali berkata, arwah mesra dengan panggilan Aidil itu pernah tinggal bersama datuknya di Mentakab, Pahang namun diambil ibunya sebulan lalu.

“Saya terkejut apabila mendapat berita kejadian berkenaan malam semalam (kelmarin) dari ibu mangsa sendiri yang kini berada di hospital kerana menunggu hari untuk bersalin.

“Tindakan dia (suspek) jelas tidak waras. Kakak saya mengambil Aidil untuk dijaga sendiri berikutan ayah sedang menunaikan umrah,” katanya.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HTAR apabila ahli keluarga mangsa hadir bagi menuntut jenazah jam 4 petang sebelum dikebumikan di kampung ibunya di Mentakab.

Ibu saudara mangsa, Hamidah Mohd Yusof, 33, berkata, ayah kandung mangsa, Affendi Mohd Yusof, 40, yang berada di Kuala Krai, Kelantan, memohon bantuannya untuk melihat keadaan jenazah anaknya itu.

“Abang (Affendi) menghubungi saya jam 7 pagi tadi (semalam) bagi memaklumkan kejadian berkenaan dan minta saya ke sini (Jabatan Forensik) kerana dia sendiri tidak sanggup untuk hadir.

“Saya tidak pernah berjumpa dengan mangsa kerana abang bercerai dengan isterinya selepas mangsa dilahirkan,” katanya.

myMetro 22 Disember 2015


Kanak-kanak mati kepala dihentak

KLANG 21 Dis. – Polis mengesahkan kanak-kanak lelaki yang ditemukan meninggal dunia di dalam tandas sebuah rumah di Jalan Kampung Sungai Udang di sini semalam berpunca daripada kecederaan parah pada bahagian kepala akibat dihentak objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, pengesahan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat mangsa manakala suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama seorang lagi suspek wanita berusia 29 tahun yang merupakan adik iparnya telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian namun tidak menolak kemungkinan suspek lelaki yang ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam merupakan individu yang menyebabkan kematian mangsa yang berusia empat tahun itu.

“Bedah siasat telah dilakukan ke atas mangsa pagi ini dan didapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat dihentak objek tumpul. Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif pembunuhan dan melengkapkan siasatan.

“Bagaimanapun, hasil keterangan daripada saksi-saksi, kita dapati ia lebih cenderung kepada tindakan suspek utama yang dipercayai melakukan penderaan terhadap mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Azman, ketika ditahan, selain kedua-dua suspek, turut berada di rumah berkenaan ialah isteri kepada suspek utama serta empat kanak-kanak masing-masing berusia 11, 10 dan lapan tahun termasuk seorang bayi berusia 10 hari serta mangsa sendiri.

Keempat-empat kanak-kanak terbabit jelas beliau, merupakan anak kepada suspek utama kecuali mangsa yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mereka.

Dalam pada itu, Azman turut menyatakan, jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarga ibunya yang ketika ini masih terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini kerana baru melahirkan seorang bayi.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa, terkejut dan menuntut tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku.

Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka perkara tersebut berlaku kerana mangsa baru sebulan dibawa ke sini oleh ibunya.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik itu dijaga oleh ibu bapa mereka di Mentakab, Pahang sebelum diambil secara senyap oleh ibunya bulan lalu.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Hamidah Mohd. Yusof, 33, memberitahu, dia amat terkilan dengan pemergian mangsa kerana sebelum ini abangnya yang juga bapa mangsa pernah memintanya supaya menjaga kanak-kanak itu.

Katanya, meskipun tidak pernah berjumpa anak saudaranya itu selepas ibu mangsa membawanya pergi kira-kira empat tahun lalu, dia berasa amat terkilan kerana tidak memenuhi permintaan abangnya itu.

“Abang pernah meminta saya menjaga mangsa dan seorang lagi abangnya yang berumur lapan tahun tetapi saya minta untuk memikirkannya dahulu kerana saya masih lagi bujang.

“Abang saya kemudian tidak bertanyakan lagi tentang perkara itu dan saya sangka semuanya baik kerana dia sendiri sering menemui anaknya dua minggu atau sebulan sekali,” ujarnya.

Tambahnya, abangnya itu kini tinggal di Kuala Krai, Kelantan dan tidak datang untuk menuntut mayat mangsa sebaliknya hanya menunggu jenazah di Mentakab, Pahang.

Jenazah mangsa yang dituntut oleh bapa saudara sebelah ibu akan dibawa ke Mentakab petang hari ini sebelum dikebumikan di sana.

Semalam, polis menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki berumur empat tahun di dalam sebuah tandas di sebuah rumah di Jalan Kampung Sungai Udang di sini dan menahan suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama seorang lagi suspek wanita berusia 29 tahun yang merupakan adik iparnya.

Semalam, suspek utama bersama seorang wanita yang juga adik iparnya ditahan atas dakwaan menyebabkan kematian mangsa selepas jiran kepada suspek yang berusia 29 tahun membuat laporan polis kira-kira pukul 7.10 malam.

Ekoran daripada laporan tersebut, polis telah menjalankan pemeriksaan di rumah suspek utama dan menemukan mayat mangsa di dalam sebuah tandas yang tidak digunakan sambil dibaluti dengan tuala berwarna putih selain terdapat kesan kecederaan pada bahagian kiri kepala, calar pada badan.

Selain itu, terdapat kesan darah pada mulut serta hidung mangsa.

Turut ditemukan ialah tuala putih yang terdapat kesan darah dipercayai milik mangsa, sebatang rotan, sebatang paip PVC dan sebatang mop yang dipercayai digunakan untuk memukul dan mendera mangsa.

Utusan 22 Dis 2015




0 comments:

Post a Comment