December 9, 2015

Buaian gergasi tapak pesta tumbang di PD

OPERASI tapak pesta ria keluarga di PD Waterfront terpaksa digantung selepas buaian gergasi yang lebih dikenali sebagai swing ride tumbang.

PORT DICKSON – Suasana ceria musim cuti persekolahan di tapak pesta ria keluarga di PD Waterfront di sini awal pagi semalam bertukar cemas apabila permainan buaian gergasi tumbang menyebabkan tiga pe­ngunjung cedera.

Dalam kejadian pada pukul 12.05 pagi itu, Hawa Liana Kamar Bashah, 21, dilaporkan patah kaki kiri akibat tersepit pada kerusi buaian, manakala Abd. Rahman Mohamad, 35, dan Nor Aminur Rahid Nor Hisham, 17, cedera ringan.

Kedua-duanya lelaki itu dikatakan tercampak dari kerusi masing-masing ketika buaian yang turut dikenali sebagai swing ride sedang berpusing pada ketinggian tiga meter.

Sepasukan anggota dari Ba­lai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menge­luarkan mangsa yang tersepit.

Mereka terpaksa menggunakan tangga untuk memotong rantai buaian setinggi kira-kira tiga meter bagi menurunkan mangsa.

Ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson di sini untuk rawatan dan dua daripada mereka dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Kosmo 8 Dis 2015


Malapetaka tengah malam

Buaian besar yang tumbang di pesta ria di PD Waterfront, 12 tengah malam tadi. FOTO ihsan pembaca

Port Dickson: Dua lelaki tercampak dan seorang wanita tersepit selepas buaian besar di pesta ria di PD Waterfront, di sini, tumbang 12 tengah malam tadi.

Difahamkan, mangsa wanita, Hawa Liana Kamar Bashah, 21, parah, manakala mangsa lelaki, Abd Rahman Mohamad, 35, dan Nor Aminur Rashid Nor Hisham, 17 cedera.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Pegawai Bomba Kanan II Sulong Addin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.06 tengah malam sebelum sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seorang wanita tersepit pada kerusi buaian itu, manakala dua lelaki tercampak ke bawah buaian dan anggota bomba menggunakan tangga untuk memotong rantai buaian setinggi kira-kira tiga meter dan menurunkan kerusi buaian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dirawat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

myMetro 7 Dis 2015





0 comments:

Post a Comment