December 6, 2015

`Boleh saya tinggal sini?'

IHSAN Bomba dan Penyelamat

Taiping: Anggota Bomba dan Penyelamat Kamunting tersentak apabila lelaki kurang upaya (OKU) berusia 53 tahun datang kepada mereka dan meminta untuk tinggal di balai itu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, berkata lelaki OKU itu meminta bantuan itu kerana dia mendakwa dihalau ahli keluarganya.

"Pihak pengurusan balai kemudian mengambil keputusan menghantar lelaki dikenali sebagai Abdul Latif Hashim yang beralamat di Bagan Serai, ke Rumah Seri Kenangan Taiping.

“Kami menghantarnya menggunakan van EMRS. Alhamdulillah pihak Rumah Kenangan menerimanya walaupun pada mulanya agak sukar kerana memerlukan kelulusan JKM," katanya.

Menurutnya, Rumah Kenangan juga memaklumkan akan berhubung dengan keluarga lelaki terbabit untuk mengetahui adakah benar berlaku seperti yang diceritakan lelaki itu.

myMetro 5 Disember 2015


Merajuk bawa diri

ABDUL Latif menunjukkan kaki kirinya yang patah ketika ditemui di Rumah Seri Kenangan.

Taiping: “Saya tidak mahu pulang ke rumah lagi dan tidak kisah ditempatkan di mana-mana rumah kebajikan,” kata seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) Abdul Latif Hashim, 53.

Kelmarin, Abdul Latif dipercayai keluar dari rumahnya di Bagan Serai sebelum pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting dan meminta kebenaran tinggal di balai berkenaan.

Pihak pengurusan balai kemudiannya mengambil keputusan menghantar Abdul Latif yang berkerusi roda itu ke Rumah Seri Kenangan, di sini, walaupun masih belum mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Abdul Latif yang ditemui di Rumah Seri Kenangan berkata, dia yang berada dalam keadaan tertekan mengambil keputusan meninggalkan keluarganya di Bagan Serai dan membawa diri dengan menaiki teksi ke Pasar Borong Kamunting.

Katanya, dia terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dari pasar berkenaan ke balai bomba sebelum dibawa ke rumah kebajikan.

“Saya bersyukur pihak pengurusan rumah kebajikan membenarkan untuk tinggal selama dua hari.

“Pihak pengurusan memberitahu yang mereka melalui JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk membenarkan saya ditempatkan di mana-mana rumah kebajikan,” katanya.

Menceritakan pengalaman sedihnya, Abdul Latif berkata, kaki kirinya patah selepas terbabit dalam kemalangan motosikal berdekatan Pasar Borong Kamunting pada 7 Julai lalu.

Katanya, dia menjalankan perniagaan menjual ayam sebelum mata pencariannya itu hilang akibat kemalangan yang menyebabkannya terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak yang sudah dewasa, namun mereka semua tinggal di Pulau Pinang,” katanya yang enggan menceritakan sebab keluarganya berada di Pulau Pinang.

Menurutnya, dia berharap akan ada pihak yang membantunya dan buat masa ini hanya mampu berdoa serta berserah kepada Allah untuk menentukan nasibnya.

myMetro 7 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment