December 9, 2015

Bertemu setelah terpisah 44 tahun

Yahya (hadapan, kiri) memeluk abangnya Hasan semasa bertemu semula di Arena Batu Kurau semalam.

LARUT – Kerinduan seorang warga emas terhadap adiknya sejak 44 tahun lalu ber­akhir selepas mereka berdua ditemukan dalam satu perjum­paan yang cukup hiba di Arena Batu Kurau dekat sini semalam.

Impian Yahya Ahmad, 70, yang memendam hasrat sekian lama untuk bertemu dengan abangnya, Hasan, 74, tercapai dalam pertemuan yang diaturkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria.

Dua beradik itu terpisah apabila Yahya memutuskan untuk ke Tawau, Sabah pada usianya 26 tahun untuk bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di sana sekali gus menyebabkan dia terputus hubungan dengan keluarganya.

Menurut Yahya, beliau tidak pernah melupakan keluarga di sini tetapi hasrat untuk pulang tidak tercapai kerana masalah kewangan.

“Perasaan rindukan kampung halaman yang terlalu kuat menyebabkan saya sering termimpikan abang. Dek kerana terlalu kerap mimpikan dia, hati saya meronta untuk pulang bertemunya,” katanya ketika ditemui di rumah Hasan di Kampung Changkat Lobak di sini.

Kosmo 8 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment