December 21, 2015

Berebut gigit nenek

Papar: Seorang wanita warga emas yang keluar mencari siput menerima lebih 30 jahitan di kaki dan punggung selepas diserang tiga anjing liar berhampiran pantai Palm Beach, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi, Tumin Pandati, 88, terpaksa dikejarkan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.

Menurut mangsa, ia adalah kejadian pertama dialaminya sepanjang mencari siput di sekitar pantai berhampiran rumahnya.

“Ketika mencari siput, saya menyedari seekor anjing liar menyalak dan menerkam dari belakang serta menyerang saya.

“Saya cuba menghalau anjing berkenaan menggunakan pisau sebelum tiba-tiba dua ekor lagi menerkam saya,” katanya.

Tumin berkata, kumpulan anjing liar itu menyerang dan menggigitnya sebelum disedari dua pekerja di pusat peranginan berhampiran yang kemudiannya berjaya menghalau haiwan berkenaan.

“Saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, pekerja pusat peranginan, Abd Aziz Nasrul, 40, berkata dia melihat sekumpulan anjing ‘berebut’ sesuatu di tepi pantai kira-kira 200 meter dari tempat kerjanya.

“Sebaik menyedari haiwan ini menyerang manusia, saya bersama seorang lagi rakan segera membantu.

“Saya melihat wanita berkenaan terbaring dalam kesakitan dengan kesan koyakan pada kaki dan punggung,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Roger Crowhurst, 43, mengakui kehadiran banyak anjing liar mengancam keselamatan orang ramai.

“Saya bimbang sekiranya tiada langkah pencegahan diambil pihak berkuasa, kehadiran anjing liar ini mampu menggugat keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.

“Malah pernah berlaku beberapa insiden serangan anjing liar sebelum ini sehingga menyebabkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan George Abd Rakman ketika dihubungi memaklumkan masih belum menerima laporan mengenai kejadian itu.

myMetro 19 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment