December 17, 2015

Bencana kaki ayam bertaburan

KAKI ayam dari dua buah lori yang terlibat dalam kemalangan bertaburan atas jalan raya di Kilometer 92.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar ke Gurun semalam.

SUNGAI PETANI – Gara-gara dua buah lori membawa kaki ayam ke Thailand terbabas dan terbalik telah menyebabkan sembilan lagi kenderaan lain turut mengalami nasib serupa dalam kejadian di Kilometer 92.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar ke Gurun dekat sini semalam.

Kemalangan pada pukul 6.30 pagi itu bermula apabila dua buah lori satu tan membawa ratusan bungkusan kaki ayam menghala ke utara terbabas. Kejadian berlaku kepada dua buah lori itu menyebabkan hampir kesemua bungkusan kaki ayam terjatuh dan kaki ayam bertaburan di atas jalan dengan sebahagian lagi terpelanting ke laluan bertentangan lebuh raya.

Sebuah kereta Honda City dan sebuah lori yang mengekori kedua-dua buah lori membawa kaki ayam itu gagal mengelak lalu turut terbabas memasuki kawasan parit berhampiran.

Lebih malang lagi, lima buah kereta dan masing-masing sebuah motosikal dan lori di laluan menghala ke selatan turut terbabas kerana terlanggar kaki ayam yang berselerak di atas jalan. Beberapa buah kenderaan di laluan menghala ke selatan itu turut berlanggar sesama sendiri.

Akibat kemalangan tersebut, tiga pemandu dan penumpang kenderaan cedera ringan.

Kosmo 17 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment