December 21, 2015

Bebas tali gantung

Taiping: Seorang lelaki terselamat daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, mendapati tertuduh tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis ganja 227 gram, pada Jun 2012.

Mohd Shuib Abdullah, 58, yang menjalankan perniagaan dalam talian, didapati tidak bersalah selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya mewujudkan keraguaan munasabah dalam kes terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Shuib didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Jambu, di sini, 2 pagi, pada 15 Jun 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan melepas dan membebaskan tertuduh berdasarkan beberapa alasan termasuk kegagalan saksi pihak pendakwaan mengenalpasti berapa ramai individu yang tinggal bersama tertuduh.

Mohd Shuib yang diwakili peguam P Ravee kelihatan menangis gembira dalam mahkamah selepas keputusan dibacakan.

myMetro 18 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment