December 4, 2015

Bahang api Maghrib

SITI Maryuni melihat tapak rumah pusakanya yang musnah dijilat api.

Bagan Datoh: “Saya terperanjat melihat api dari ruang bilik atas rumah marak membakar dinding dan tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya menjerit sekuat hati meminta bantuan jiran,” kata Siti Maryuni Mohd Krumin, 64.

Siti Maryuni seorang ibu tunggal kehilangan rumah pusaka berusia 40 tahun peninggalan arwah suaminya, Hamdan Sulaiman, 65, yang hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Payong Sungai Tiang Baroh Selekoh, jam 7.30 malam kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama seorang anak lelakinya, Khuraini Hamdan, 41, yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) berada dalam rumah berkenaan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika dia baru saja hendak menunaikan solat Maghrib sekitar jam 7.30 malam.

“Saya bersama Khuraini tidak sempat hendak solat Maghrib sebaliknya berlari keluar rumah yang dipenuhi asap tebal untuk menyelamatkan diri.

“Saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian yang berlaku secara mengejut itu. Api marak dengan begitu pantas sekitar 10 minit sehingga saya tidak sempat menyelamatkan barang berharga,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ibu kepada 10 anak 25 cucu dan lima cicit itu berkata, dia tidak menolak kemungkinan kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas dan anggaran kerugian dialami sekitar RM70,000.

Dia yang menumpang di rumah jiran buat sementara waktu berkata, antara yang musnah dalam kejadian itu beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan, buku bank, surat kelahiran anak, perabot dan dua motosikal.

Nasib malang yang menimpa Siti Maryuni dan keluarganya turut mendapat perhatian Ketua Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Khairuddin Termizi yang turut menziarah mangsa dan menyerahkan sumbangan semalam.

“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berada di ltali mengenai kejadian kebakaran ini.

“Beliau turut menyatakan simpati dan berjanji akan membantu bagi membolehkan mangsa kebakaran mendapat rumah baru yang akan dibina atas tapak rumah yang terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang Rahamad Nazlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 8 malam sebelum sepasukan enam anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian anggota bertugas mendapati hampir 90 peratus rumah sudah musnah dijilat api. Punca kejadian masih dalam siasatan, ” katanya.

myMetro 3 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment