December 23, 2015

Angkat maruah diri

Siti Yusniza hanya mampu bergerak dengan mengensot.

Siti Yusniza (kanan) mengajar anak murid kelas tuisyennya.

Parit Buntar: Walaupun separuh badannya cacat, seorang wanita cekal meneruskan kehidupannya dengan membuka kelas tuisyen bagi menyara kehidupan dan membantu keluarga.

Begitu kegigihan ditunjukkan Siti Yusniza Mohd Yaziz, 36, dari Kampung Bagan Tiang, di sini yang cacat kedua-dua belah tangan dan kaki akibat masalah saraf.

Beliau tidak pernah menganggap kekurangan dirinya itu sebagai halangan mengejar cita-cita seperti insan lain.

Sebaliknya anak sulung daripada tiga beradik ini sentiasa menganggap dirinya sempurna dan boleh berdikari tanpa perlu membebankan orang lain.

Usahanya membuka kelas tuisyen membuka mata masyarakat status orang kurang upaya (OKU) mampu berjaya dalam bidang diceburi.

“Saya bermula dengan membuka kelas tuisyen bagi pelajar sekolah menengah pada 1997, selepas mengambil keputusan berhenti pengajian di Universiti Malaya.

“Saya ditawarkan pengajian Ijazah Perakaunan di UM, selepas sebulan saya terpaksa berhenti disebabkan kesukaran bergerak. Pada awalnya memang berat, tapi apabila memandang wajah arwah ayah (Mohd Yaziz Othman) dan mak yang terpaksa bersusah payah membantu saya ke fakulti saya mengambil keputusan berhenti.

“Saya kuatkan hati serta yakin Allah SWT sentiasa bersama saya, saya terima dengan reda dengan apa yang berlaku, berlandaskan prinsip pasti ada hikmah tersendiri,” katanya.

Yusniza berkata, pendapatannya hanya sekitar RM250 sebulan selain turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga selepas bapanya meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.

“Atas sokongan keluarga, saya membuka kelas tuisyen mengajar pelajar sekolah menengah dalam subjek Matematik,” katanya yang berharap mengembangkan lagi kelas tuisyen berkenaan pada masa hadapan.

Siti Yusniza turut menasihati OKU lain supaya jangan mudah rendah diri atas kekurangan kerana semua orang boleh berjaya jika berusaha gigih.

“Hasrat saya selama ini, memiliki pusat tuisyen dengan infrastruktur lengkap meja tulis, papan putih dan sebagainya,” katanya.

Ibunya, Siti Hazizah Abdul Hadi, 54, berkata, Siti Yusniza demam panas selepas dilahirkan sehingga mengakibatkan masalah saraf.

Mereka yang ingin membantu boleh ke rumah Siti Yusniza atau menyalurkan sumbangan ke akaun bank BSN 0823541000023656.

myMetro 22 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment