December 2, 2015

Anak pemandu van penerima Pingat Emas Perdana MAIWP

Nina Shahira (tengah) bersama pelajar cemerlang lain.

KUALA LUMPUR- Niat baik untuk membantu meringankan beban keluarga menjadi pegangan utama buat penerima Pingat Emas Perdana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( MAIWP) yang memperoleh keputusan Nilai Gred Semasa (GPA) 3.94 dalam pengajiannya.

Ia sekaligus menjadikan Nina Shahira Abdul Halim, 21, sebagai pelajar cemerlang keseluruhan Diploma Sains Perubatan sesi Julai 2012 Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi ( PICOMS).

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, kejayaan tersebut merupakan kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hidupnya lebih-lebih lagi anugerah yang dirangkul berkenaan merupakan anugerah tertinggi yang pernah diterimanya.

"Ayah saya cuma seorang pemandu van manakala ibu saya bekerja sebagai pemandu pelancong. Faktor ini menjadi pendorong yang kuat untuk terus berjaya bagi mengubah haluan keluarga supaya menjadi lebih baik pada masa depan.

"Selain itu, sebagai anak sulung saya mahu menjadi contoh kepada lima adik- beradik lain yang masih belajar di sekolah supaya menjadikan kejayaan yang diterima pada hari ini sebagai sebuah inspirasi untuk terus belajar tanpa rasa jemu bagi mengecapi impian yang diinginkan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen PICOMS kali ke-3 di sini tadi.

Terdahulu, Nina Shahira merupakan antara 986 graduan yang menerima sijil diploma dalam jurusan masing-masing yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - K! ONLINE

Kosmo 1 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment