December 6, 2015

Along salah 'hitung'

Keadaan kereta milik seorang penduduk yang dibakar along di Taman Sri Rampai.

Kuala Lumpur: Serang salah sasaran. Itu tindakan sekumpulan samseng ceti haram (along) yang bertindak membakar sebuah kereta milik penduduk di Jalan 56/26 Taman Sri Rampai, di sini.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, suspek menyimbah petrol dan membakar sebuah kereta model Perodua Myvi berwarna biru diletakkan di hadapan sebuah rumah teres.

Bagaimanapun tindakan pantas penduduk berhampiran memadamkan kebakaran itu daripada memusnahkan seluruh bahagian kenderaan itu.

Difahamkan kejadian dipercayai perbuatan along yang tersalah sasaran kerana menyangka kereta itu milik individu yang gagal melunaskan hutang kepada mereka.

Sumber polis berkata, pemilik kenderaan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi kecoh di luar rumah.

“Bagaimanapun, dia bernasib baik berikutan api sempat dipadamkan beberapa jiran menggunakan alat pemadam api serta menyimbah air ke bahagian bonet kenderaan itu.

“Mangsa terkejut dengan kejadian itu kerana dia mendakwa tidak pernah berhutang dengan ceti haram sebelum ini,” katanya.

Sementara itu mangsa yang ditemui wartawan Harian Metro enggan mengulas berhubung kejadian itu.

Mangsa berusia 40-an itu kelihatan masih berada dalam keadaan trauma selain mendakwa dia tidak pernah berhutang dengan along.

Mangsa juga memberitahu akan berpindah rumah buat sementara waktu kerana masih bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya.

myMetro 5 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment