December 25, 2015

Akibat gagal memotong


TERUK: Kenderaan Daihatsu Terios yang terlibat dalam kemalangan maut semalam.

KEMALANGAN: Keadaan kenderaan Mitsubishi Triton yang terlibat dalam kemalangan semalam.

Wanita maut, sembilan cedera dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 115 Jalan Tatau-Selangau, semalam

BINTULU: Seorang wanita maut apabila kereta Daihatsu Terios yang dinaiki bersama empat ahli keluarganya hilang kawalan lalu bertembung dengan Toyota Hilux di laluan bertentangan, di Kilometer 115 Jalan Tatau-Selangau di sini, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku apabila kereta dinaiki mangsa gagal memotong kenderaan Mitsubishi Triton di depannya yang dinaiki tiga sekeluarga.

Ketika kejadian, mangsa yang dipercayai dalam perjalanan dari Tatau ke Selangau tercampak keluar kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi penumpang lain dalam kenderaan sama hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut sumber Polis Trafik Pejabat Daerah Mukah, pemandu dan penumpang dua kenderaan lain turut mengalami kecederaan ringan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan susulan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, mangsa maut yang mengalami kecederaan kepala dikenal pasti sebagai Rombia Gerang, 50, dari Rumah Jakong, Sebandi Hilir, Lundu.

“Dua lagi mangsa hanya mengalami kecederaan dan dibawa ke Klinik Selangau oleh polis dan orang awam untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mangsa dalam kenderaan Daihatsu Terios ialah pemandunya Sind Rhymieazera Sindam, 26, Sindam Tunol, 53 (cedera ringan), Sind Martin Sindam, 13 (tidak cedera), Sind Syafira Sindam, 6 (tidak cedera).

Kenderaan Mitsubishi Triton pula dipandu oleh Vennet Sibat Beti, 31, dari Rumah Ajak Umkar, Sungai Serupai Tatau.

Mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux terdiri daripada Udi Indang (pemandu), 42, dari Rumah Beriak Nanga Serugin Sungai Pakoh Selangau Sibu, Rubiah Tegung, 40 dan Benisa Runa, 9.

Menurut Farhan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tatau menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu sekitar jam 11.56 pagi.

“Dengan jarak sejauh 43 kilometer, anggota bomba Tatau diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau Pegawai Bomba Tinggi Azrel Izaidi Ahmad tiba di lokasi nahas pada jam 12.45 tengah hari,” jelasnya.

Dalam pada itu, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pegawai penyiasat trafik ialah Inspektor Yusdi Basri daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah.

Utusan Borneo 25 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment