December 17, 2015

Ajal ketika memandu

Orang ramai melihat keadaan mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh kakitangan HTF.

KANGAR - Bekas pemandu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Jalan Kampung Bakau, di sini akibat serangan jantung, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.40  petang itu, S Suparam@Subramanian, 66, sedang memandu berseorangan dari arah Jalan Kampung Bakau menghala ke Jalan Raja Syed Alwi.

Anak mangsa, S Partibhan, 30, berkata, bapanya itu dalam keadaan sihat sebelum keluar dari rumah mereka di Taman Bumita, Serjab, di sini.

"Saya tahu mengenai kejadian apabila dihubungi seorang kenalan.

"Menurut saksi kejadian, kereta bapa dilihat dipandu perlahan sebelum terbabas lalu melanggar pengadang jalan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa terbabas di pembahagi jalan apabila tiba di simpang tiga di Jalan Kampung Bakau.

Menurutnya, kereta jenis Toyota LE hanya mengalami kerosakan di bahagian kanan dan bumper hadapan tertanggal.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dipercayai telah pengsan akibat kejadian itu. Orang ramai yang melihat kejadian bertindak menghubungi ambulans.

"Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik ambulans dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) tiba di tempat kejadian," katanya.

Zaini berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HTF untuk dibedah siasat.

"Kami belum mengetahui punca kematian Suparam kerana bedah siasat sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sinar Harian 7 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment