December 17, 2015

'Abang tak balik'

GAMBAR Muhammad Rahimi dan Azwana sebelum kejadian.

Alor Setar: “Ketika ditanya bila dia akan balik ke rumah, suami sempat bergurau memberitahu dia tak akan pulang selepas menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia malam tadi (kelmarin). Saya tak sangka itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Begitu kata Azwana Ahmad, 29, mengenai perbualan terakhirnya bersama suaminya, Muhammad Rahimi Rodzali, 29, yang maut apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Duta, Kuala Lumpur, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Muhammad Rahimi yang juga anggota tentera dari Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas terpelanting dari motosikalnya.

Azwana berkata, suaminya keluar dari rumah mereka di Pangsapuri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Setiawangsa, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 petang selepas pulang dari menghadiri majlis perkahwinan di kawasan itu bersama keluarganya.

Katanya, ketika itu, arwah bersemangat untuk ke Stadium Shah Alam sambil membawa selendang dan kemeja T Hijau Kuning untuk menyokong pasukan Helang Merah itu.

“Sebelum ini, dia tidak pernah minat bola, tetapi sejak prestasi pasukan Kedah meningkat sehingga ke final, arwah menunjukkan minat untuk menonton perlawanan akhir itu malam tadi (kelmarin) tetapi keluar awal untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

“Ketika itu, saya tak sedap hati kerana perjalanan ke Shah Alam sangat jauh, tetapi tak sampai hati hendak melarang suami ke sana kerana dia memberitahu peluang cuma datang sekali untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.

“Bagaimanapun, saya menerima panggilan kira-kira jam 2.30 petang daripada orang awam mengatakan suami terbabit dalam kemalangan dan bergegas ke lokasi namun kira-kira 15 minit kemudian, saya menerima panggilan mengatakan suami sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Baru, Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, di sini, semalam.

Azwana berkata, suaminya menunjukkan perubahan beberapa hari sebelum kejadian apabila sering terasa hati dengan perkara kecil berbanding biasa.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana Allah lebih menyayanginya walaupun tiga anak kami, Nur Rihana Amani Muhammad Rahimi, 5, Muhammad Aisy Rayyan, 3, dan Muhammad Afiq Rizqin, 18 bulan, sangat rapat dengan arwah.

“Satu permintaan terakhir arwah yang tak dapat saya tunaikan apabila dia meminta saya belikan kopiah putih seperti bapa mentua semalam (kelmarin) kerana dia beriya-iya sangat untuk memakainya,” katanya.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd Rizal Radzali, 35, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adik ketiga daripada enam beradik itu ketika dia, bapa serta ibunya singgah di rumah arwah selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur.

Katanya, kebetulan ibu bapanya, Teh Othman, 61, dan Rodzali Md Isa, 58, datang dari kampung untuk turut serta majlis kenduri membabitkan ahli keluarga mereka.

myMetro 14 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment