December 9, 2015

2 sahabat rayu bantuan ramai

LAPORAN Harian Metro, 27 November lalu.

Kuala Lumpur: Dua sahabat baik yang menjadi mangsa simbah cuka getah oleh individu tidak dikenali, Ogos lalu merayu sumbangan orang ramai untuk menjalani pembedahan plastik bagi memulihkan semula kecacatan mereka.

Nurul Umira Azali, 22, dan Nurfarziana Hussein Hasnor Harry, 22, kedua-duanya melecur teruk di muka, kepala dan badan selain menderita tidak lena tidur, trauma, tidak boleh terkena cahaya matahari selain kecacatan lain yang berkemungkinan mengambil masa enam tahun untuk pulih.

Nurul Umira berkata, mereka berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap minggu untuk pemeriksaan selain menjalani pembedahan tampalan kulit.

“Sebelum ini, saya menjalani lima pembedahan kecil iaitu mengambil kulit di paha dan ditampal di leher.

“Doktor melakukan pembedahan secara laser untuk melembutkan parut akibat cuka getah,” katanya.

Menurutnya, rakan baiknya, Nurfarziana memerlukan penjagaan rapi kerana mata kirinya kini tidak boleh ditutup rapat selain sensitif cuaca panas.

“Kami tidak suka memakai topeng kerana orang sekeliling melihat seperti pelik dan ada juga yang ketakutan seakan-akan kami mahu menyamun orang.

“Ketika ini, kami perlu memakai topeng muka kerana kulit wajah terlalu sensitif dengan cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Plastik dan Konstruktif Universiti Malaya (UM) Prof Dr Alizan Khalil berkata, kedua-dua gadis berkenaan perlu dirujuk kepadanya terlebih dulu untuk melihat bagaimana kecederaan dan kaedah rawatan yang diperlukan.

Orang ramai yang mahu membantu kedua-dua gadis berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Nurfarziana 162254768386.

myMetro 8 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment