December 1, 2015

2 beradik dipercayai disembelih ibu kandung

MAYAT dua kanak-kanak yang dipercayai disembelih ibunya diangkat ke dalam trak polis untuk dihantar ke HSB Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/ABD RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI 1 Dis. - Suasana yang biasanya tenang di Taman Wira Indah di sini digemparkan dengan pembunuhan kejam dua beradik lelaki dipercayai disembelih ibu kandung sendiri di salah sebuah rumah di Lorong 11, dalam kawasan perumahan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Tee Cong Ming, 5 dan Tee Cong Shern, 3, ditemukan berlumuran darah oleh datuk mereka yang baru pulang dari berniaga di Pekan Lama dekat sini.

“Ketika kejadian, hanya tiga beranak itu berada di rumah tersebut sementara datuk dan nenek mangsa keluar berniaga. Suami suspek pula berada di Singapura kerana bekerja sebagai tukang masak di sana dan pulang sebulan sekali.

“Sebaik sahaja pulang, datuk mangsa yang berusia sekitar 60-an terkejut mendapati kedua-dua cucunya terlentang secara bersebelahan dalam salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah. Ibunya yang berusia 35 tahun pula hanya duduk di sebelah kedua-dua mayat itu dalam keadaan resah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nashir, siasatan polis mendapati kedua-dua mayat tersebut mempunyai kesan luka di leher.

Selain itu ujarnya, mayat Cong Shern juga didapati mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan.

“Ibu mangsa turut mempunyai kesan kelar di pergelangan tangannya. Dia kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi membantu siasatan, dua bilah pisau sayur dipercayai digunakan dalam kejadian itu dirampas. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.

Ditanya mengenai dakwaan di media sosial kononnya wanita itu mempunyai masalah mental, Mohd. Nashir menjelaskan, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan dan belum menemukan sebarang bukti bagi mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, salah seorang jiran keluarga tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Eng memberitahu, dia langsung tidak perasan mengenai apa yang berlaku sehinggalah melihat ramai anggota polis tiba di rumah berkenaan.

“Sebelum berkahwin, suspek pernah bekerja di kedai elektrik anak saya sebagai kerani. Dia dan keluarga dikenali sebagai orang yang baik namun dia kurang bergaul dengan masyarakat.

“Kali terakhir kami bertemu ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan jiran Februari lalu. Dia nampak sangat sayangkan anak-anaknya dan disebabkan itu, saya cukup hairan dan terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Utusan 2 Dis 2015


Keluarga enggan beri kenyataan

ALOR SETAR 2 Dis. – Suasana pilu menyelubungi bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini apabila anggota keluarga menguruskan mayat dua beradik yang maut dipercayai akibat disembelih ibu kandung sendiri di Sungai Petani, semalam.

Bapa kepada mangsa, Tee Choi Peng, 36, nenek, Choo Kah Boy, 53, serta datuk mangsa, Saw Weng Chon,60, tiba di HSB kira-kira pukul 1 tengah hari ini dan enggan memberi sebarang kenyataan kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa Tee Cong Ming, 5 dan Tee Cong Shern, 3.

Turut kelihatan di kawasan itu ialah ahli-ahli sukarelawan Buddhist Tzu Chi yang membantu menenangkan emosi ahli keluarga mangsa serta melakukan upacara keagamaan di situ.

Weng Chon berkata, dia amat sedih dengan kematian dua orang cucunya itu dan tidak mahu diganggu pihak media.

“Saya tidak tahu apa-apa dan sibuk dengan urusan pengebumian cucu saya,” ujarnya sambil menangis di pekarangan bilik mayat di HSB di sini hari ini.

Sementara itu, Kah Boy ketika ditemui pula berkata, bapa kepada dua orang cucunya itu baru sahaja tiba dari Singapura pagi ini dan terus menguruskan mayat anak-anaknya di HSB.

Bagaimanapun ketika ditanya dengan lebih lanjut mengenai kejadian yang berlaku semalam, Kah Boy hanya mendiamkan diri lalu meninggalkan kawasan bilik mayat tersebut.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam di sebuah rumah di Lorong 11 Taman Wira Indah Sungai Petani, mayat dua beradik itu ditemukan berlumuran darah oleh Weng Chon yang baru pulang dari berniaga di Pekan Lama Sungai Petani.

Dia mendapati kedua-dua cucunya terlentang secara bersebelahan dalam salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan.

Kedua-dua mereka dipercayai dibunuh oleh ibu kandung mereka sendiri yang berusia 35 tahun yang kini berada di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut kerana ibu mangsa turut mengelar pergelangan tangan sendiri dalam kejadian itu.

Utusan 3 Dis 2015






0 comments:

Post a Comment