November 30, 2015

Yatim piatu sekelip mata

IHSAN Bomba dan Penyelamat

Kuala Krai: Dua beradik yatim piatu apabila ayah dan ibu mereka maut selepas MPV mereka bertembung dengan treler tanpa muatan di KM95 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Laloh, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata MPV keluarga terbabit dari Gua Musang dan bertembung dengan treler yang dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua kenderaan terbalik dan menjunam ke dalam gaung di sebelah kanan jalan (arah Gua Musang).

“Pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mereka yang maut adalah Pegawai Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Gebeng, Kuantan, Pahang, Muhamad Zulkifli Awang, 36, dan ibu mereka, Shuhada Mat Hassan, 34.

“Kedua-dua anak arwah, masing-masing berusia enam dan empat tahun, dirawat di HKK (Hospital Kuala Krai)," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 28 November 2015


Keterujaan bapa bertukar duka


Jenazah Shuhada disemadi di sebelah suaminya dalam satu liang lahad di Kampung Raja, semalam.

KAMPUNG RAJA - Kegembiraan seorang bapa, Mat Hassan Abdullah, 74, menunggu kepulangan anak perempuan bersama keluarga bercuti di rumahnya bertukar duka apabila menyambut jenazah mereka.

Shuhada Mat Hassan, 34, anak kelima daripada 12 beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu suaminya, Muhammad Zulkifli Awang, 36, dilanggar treler berhampiran Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lak Loh, Kuala Krai, Kelantan malam kelmarin.

Mat Hassan berkata, semasa menunggu kepulangan mereka bersama dua anak mangsa, Nur Umairah Husna 6, dan Muhammad Hafiz Hakimi, 2, dia menerima panggilan pada jam 12 tengah menyatakan anak dan menantunya maut.

“Saya terkedu dan tidak dapat menggambarkan perasaan ketika menerima panggilan tersebut dan setelah diberitahu cucu saya, Nur Umairah Husna patah kaki kanan dan adiknya cedera ringan,” katanya, semalam.

Katanya, kali terakhir arwah pulang ke sini dua minggu lalu, namun tidak sangka semalam saya hanya bertemu jenazahnya.

Sementara itu bapa Muhammad Zulkifli, Awang Seman, 58, berkata, Allahyarham Muhammad Zulkifli merupakan anak sulung daripada 12 beradik dan bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Kuantan, Pahang.

Katanya, sebelum kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya keluar dari rumahnya di Jengka 23, Pahang selepas solat Jumaat kelmarin untuk pulang bercuti di rumah keluarga mertua di sini pula.

“Saya perasan perubahan pada dirinya iaitu dia mahu berjumpa suami adik-beradik ketika pulang bercuti di rumah saya dan dia pulang melalui Gua Musang, Kelantan kerana mahu singgah di Paloh 2, Gua Musang untuk melihat anak saudaranya yang baru dilahirkan.

“Dia tidak sempat lagi lihat adiknya yang baru dapat cahaya mata. Selepas meninggalkan rumah adiknya, dia terlibat kemalangan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Syed Jamaluddin Syeh Mohamed berkata, Muhammad Zulkifli seorang anggota yang berdedikasi malah dia dipanggil ustaz dalam kalangan rakan setugas kerana sering memimpin solat atau majlis keagamaan di balai tersebut.

Menurutnya, Allahyarham bercuti sejak Isnin lalu dan beliau berkhidmat di jabatan tersebut selama 12 tahun dan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng empat tahun.

“Beliau banyak bertugas di bahagian pentadbiran, tetapi jika ada kes tertentu, dia bantu dan kami kehilangan anggota berdisiplin,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, semalam.

Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang lahad jam 2 petang semalam.

Sementara kedua-dua anak mangsa masih dirawat Hospital Kuala Krai dan dalam keadaan stabil.

Sinar Harian 29 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment