November 25, 2015

Warga emas tak sempat ambil wang kebajikan

JASIN - Hasrat seorang lelaki warga emas ingin mengambil wang kebajikan tidak kesempaian apabila dia dilanggar sebuah kereta di Jalan Kersang Jaya, Kersang, di sini, semalam.

Bujang Davam, 80, dilanggar sebuah kereta Perodua Kancil ketika hendak melintas jalan dipercayai untuk Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Bemban dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi.

Warga emas terbabit tercampak di atas cermin hadapan kereta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hisham berkata, kejadian berlaku ketika mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan dipercayai menghala ke sebuah perhentian bas berhampiran.

“Siasatan awal mendapati, Perodua Kancil dipandu dari arah Taman Kelubi menghala Bemban. Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba melintas jalan menyebabkan kereta berkenaan melanggarnya.

"Pemandu kereta itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Melaka Raya tidak sempat mengelak mangsa menyebabkan mangsa tercampak di atas cermin kereta sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya di sini, semalam.

Muhd Nur berkata, mangsa mempunyai 10 anak dan tinggal sendirian.

Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Penangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 25 NOVEMBER 2015

0 comments:

Post a Comment